PETALING JAYA - Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) diangkat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026.
Anugerah disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong sempena Malam BISA 2026, di Royale Chulan Damansara, di sini, pada Rabu.
Pengarah & Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ida Riswana Idris berkata, penghormatan atas pengiktirafan tersebut amat bermakna buat seluruh keluarga Andalusia.
Beliau percaya, kekuatan sebenar tidak datang daripada kejayaan semata-mata tetapi kesabaran menghadapi dan ujian dan keberanian untuk terus bangkit.
"Ini bukan milik saya seorang tetapi pertamanya milik bonda saya, seorang wanita yang mendidik saya tentang erti ketabahan
"Ini juga hasil bimbingan suami saya Haji Ibrahim yang sebenarnya menjadi seorang suami, sahabat perjuangan, rakan bergaduh setiap hari serta seluruh warga Andalusia yang bersama-sama membina perjalanan Andalusia ini.
"Semoga segala usaha kecil kami menjadi manfaat pada ummah dan generasi akan datang," katanya ketika berucap pada malam BISA 2026.
**media[3512874]**
BISA 2026 merupakan platform pengiktirafan perniagaan nasional bagi meraikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam industri media tempatan, Sinar Harian terus berperanan sebagai platform kewartawanan yang dipercayai, konsisten mengangkat kisah rakyat termasuk perjuangan dan sumbangan usahawan PMKS.
Penganjuran BISA 2026 turut mencerminkan komitmen dalam meraikan pemain industri dan usahawan yang bukan sahaja berjaya membina perniagaan mampan, malah memberi nilai tambah kepada ekonomi serta masyarakat secara keseluruhan.
Lebih 30 penerima anugerah terdiri daripada pelbagai sektor dan industri diraikan termasuk lima penerima Anugerah Pilihan Juri.
Penerima bagi kategori tersebut ialah Mydin Mohamad Holdings Bhd (Mydin), Casalwa Holdings, PKNS Bizz Point, Bank Rakyat serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA yang disifatkan sebagai peneraju dalam bidang masing-masing.






