BMI kekal berhati-hati tetapi positif terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia pada 2024

Business & Finance
12 Jan 2024 • 12:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BMI kekal berhati-hati tetapi positif terhadap perbelanjaan pengguna di Malaysia pada 2024

diyana

12/01/2024 - 12:29

KUALA LUMPUR 12 Jan - BMI mengekalkan pendirian berhati-hati tetapi positif kepada perbelanjaan pengguna di Malaysia pada 2024 apabila ekonomi lebih luas pulih dan angka pertumbuhan kembali kepada terajektori jangka sederhana yang lebih stabil (2024 hingga 2028).

Syarikat penyelidikan Fitch Solutions itu berkata, data berfrekuensi tinggi menunjukkan bahawa keyakinan pengguna dan jualan runcit akan terus lembap dalam jangka pendek, sementara pengurangan tekanan inflasi dan pengambilan pekerja yang sihat bakal membentuk asas untuk prospek perbelanjaan pengguna yang stabil.

Paras hutang isi rumah yang tinggi dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi kekal sebagai risiko utama kepada prospek pada 2024, katanya dalam satu nota penyelidikan.

BMI menyatakan bahawa ini akan memerlukan pengguna memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan mereka kepada pembayaran balik hutang, mengekang keupayaan mereka untuk berbelanja bagi barangan dan perkhidmatan lain.

Bagi tinjauan perbelanjaan isi rumah, firma itu berkata pertumbuhannya akan menjadi lebih positif mengatasi angka pada 2023, apabila pertumbuhan ekonomi berterusan dan tahap penggunaan menjadi normal.

“Kami mengunjurkan perbelanjaan isi rumah berkembang 5.1% tahun ke tahun (YoY) sepanjang 2024, kepada RM910 bilion (pada harga 2010).

“Perbelanjaan isi rumah sepanjang 2024 akan menandakan kembalinya ke tahap pertumbuhan pra-COVID (perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar purata sebenar 5.2% dalam tempoh 2015-2019),” ulasnya.

Firma itu berkata, perbelanjaan akan dikekang oleh persekitaran paras hutang yang tinggi dan kos perkhidmatannya, namun pengurangan inflasi dan pasaran buruh yang ketat akan menyokong perbelanjaan, kerana pertumbuhan gaji kembali ke paras positif, menyokong kuasa beli sepanjang tahun.

Di samping itu, BMI berpendapat bahawa cabaran ekonomi yang lebih luas dihadapi isi rumah dan pengguna terus berpunca daripada pembukaan semula ekonomi selepas pandemik COVID-19, di mana tekanan inflasi didorong oleh inflasi tarikan permintaan dan tolakan kos.

Menurut firma tersebut, dalam usaha untuk mengekang inflasi, bank pusat telah menaikkan kadar dasar mereka pada kadar terpantas dalam sejarah, menjadikan hutang yang dikeluarkan dalam tempoh kadar faedah rendah sejarah 2015-2019 kurang bernilai.

Kekayaan isi rumah juga telah dipacu ke tahap bersejarah oleh prestasi kukuh dalam pasaran ekuiti dan harga rumah yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, banyak pasaran hartanah semakin lemah, manakala panduan syarikat semakin negatif.

"Sekiranya ini dipercepatkan, kejatuhan besar dalam kekayaan pengguna boleh membawa kepada pengurangan penggunaan yang cepat," katanya. - DagangNews.com