BMI ramal perbelanjaan pengguna Malaysia kekal tinggi pada 2025

28/04/2025 - 16:37
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 April - Perbelanjaan pengguna Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2025, disokong oleh persekitaran inflasi yang rendah dan pasaran buruh yang stabil, menurut anak syarikat Fitch Solutions, BMI.
Ia berkata, pasaran buruh Malaysia yang stabil dan inflasi yang menurun memberi kesan positif kepada kenaikan gaji sebenar, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah di Malaysia.
BMI menjangkakan pendapatan rakyat Malaysia akan meningkat sebanyak 3.3% berbanding tahun sebelumnya, membolehkan purata isi rumah mempunyai kuasa beli 8% lebih tinggi berbanding tahap 2019, dengan trajektori yang terus meningkat hingga 2029.
"Secara keseluruhan, kami meramalkan perbelanjaan isi rumah akan meningkat 5.2% pada 2025, iaitu RM943.7 bilion, berbanding RM896.9 bilion pada 2024.
"Keadaan ini membolehkan perbelanjaan isi rumah kembali kepada tahap pertumbuhan pra-Covid, di mana ia berkembang pada kadar purata sebenar 5.2% tahun ke tahun sepanjang tempoh 2015-2019," kata BMI dalam laporannya.
BMI turut mencatatkan, inflasi dijangka berada pada purata 2.4% tahun ini, masih cukup rendah untuk menyokong kuasa beli isi rumah.
Ia juga menekankan, kadar pengangguran di Malaysia kekal stabil pada paras terendah dalam beberapa tahun iaitu 3.1% pada Februari 2025, yang memberikan keyakinan kepada pengguna.
BMI meramalkan kadar pengangguran berada sekitar 3.1% sepanjang tahun, disokong oleh pelaburan asing dan sektor pelancongan.
Namun, BMI berkata, perbelanjaan pengguna masih terbatas disebabkan oleh tahap hutang yang tinggi dan kos perkhidmatan hutang yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Tahap hutang yang tinggi menyebabkan isi rumah Malaysia terdedah kepada kadar faedah yang tinggi, memaksa pengguna mengagihkan sebahagian besar bajet mereka kepada pembayaran hutang untuk tempoh yang lebih lama.
"Ia sekali gus mengehadkan kemampuan mereka untuk berbelanja bagi barangan dan perkhidmatan lain," ujarnya.
BMI juga meramalkan ringgit akan mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dari RM4.6 setiap dolar AS tahun lalu kepada RM4.5 setiap dolar AS tahun ini.
Ia turut mengingatkan, negara masih bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan tempatan dan pengukuhan kadar tukaran wang itu bermakna pengguna Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga import yang lebih murah. - DagangNews.com
standard

