Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh usaha membudayakan amalan menabung dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 sebagai persediaan awal untuk pendidikan anak-anak.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (kiri) dan YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN (kanan) mempamerkan tabung edisi khas BMS 2026.
Sambutan BMS 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Mydin Bukit Mertajam disempurnakan Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim.
Menurut Norliza, penganjuran BMS bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat persediaan kewangan bagi pendidikan sejak awal.
“BMS 2026 bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi wadah untuk menyemarakkan budaya menabung sebagai persediaan awal pendidikan anak-anak. Melalui Simpan SSPN, PTPTN terus membantu ibu bapa merancang pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan berhemah.
“Saya berharap usaha ini akan terus menyemarakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat serta menyemai kesedaran bahawa setiap simpanan hari ini adalah langkah penting ke arah masa depan pendidikan yang lebih terjamin,” katanya.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman serta barisan pengurusan PTPTN.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (dua dari kanan) menyerahkan replika kad berjumlah RM15,000 kepada pemenang kedua Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2.
Selain Pulau Pinang, sambutan berkenaan turut berlangsung serentak di 12 negeri lain di lokasi terpilih di seluruh negara. BMS 2026 berlangsung dari 25 September hingga 1 November dan merupakan tahun kesembilan program itu dianjurkan sejak 2018.
Tahun ini, BMS tampil dengan tema ‘Di Bawah Lautan’ (Under the Sea) yang menggambarkan perjalanan penuh impian dalam membina tabiat menabung serta merancang kewangan bagi pendidikan anak-anak.
Menerusi tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, ibu bapa digalakkan mengambil langkah lebih awal dengan menjadikan tabiat menyimpan sebagai sebahagian daripada perancangan pendidikan anak.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) menyerahkan replika kad iPhone 17 Pro kepada pemenang kedua Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang sambutan termasuk Pertandingan Mewarna, Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam, Happy Hour, kaunter promosi Simpan SSPN, saringan kesihatan serta pameran melibatkan agensi kerajaan dan swasta.
Pengunjung yang membuat penabungan menerusi Simpan SSPN di kaunter PTPTN juga berpeluang menerima cenderahati.
Dalam program sama, PTPTN turut menyampaikan sijil Kelab Simpanan Pendidikan (KSP), hadiah kepada pemenang Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! bagi Kategori Cabutan Slay 2 dan Cabutan WOW! Simpan SSPN Plus 2026 bagi Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2.
Hadiah bagi Pertandingan Simpan SSPN Got Talent dan Anugerah Permata Inspirasi PTPTN turut disampaikan.

Para Pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent 2026 bergambar bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tiga dari kiri)
Sementara itu, Simpan SSPN menawarkan beberapa manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit serta Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak.
Simpanan berkenaan turut menawarkan kadar dividen kompetitif, patuh syariah dan dijamin kerajaan.
PTPTN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata usaha meningkatkan kesedaran untuk menabung menerusi Simpan SSPN akan diteruskan bagi membantu masyarakat membuat persediaan pendidikan lebih awal sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.



