
SHAH ALAM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meletakkan sasaran kutipan deposit sebanyak RM250 juta menerusi penganjuran Bualan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 yang bermula hari ini bersempena dengan sambutan Hari Tabungan Sedunia.
Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata lonjakan pencapaian kewangan itu disokong rekod cemerlang kutipan deposit terdahulu, yang membuktikan tahap kepercayaan jitu masyarakat terhadap produk simpanan pendidikan terulung negara.
“Sehingga 31 Ogos lepas, jumlah deposit Simpan SSPN yang berjaya diterima adalah sebanyak RM25.86 bilion menerusi pembukaan 7.66 juta akaun di seluruh negara.
“Pihak PTPTN meletakkan sasaran kutipan deposit sebanyak RM250 juta bagi penganjuran kempen BMS pada tahun ini bagi memastikan momentum kecemerlangan produk terus kekal utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN Husna Abdul Rahman dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid di Central i-City Mall, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Norliza berkata penganjuran edisi kesembilan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2018 itu menyaksikan pelbagai program menarik bagi mempromosikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
“Penabungan bukan sekadar menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan, tetapi ia merupakan ruang untuk merancang perjalanan pendidikan anak-anak dengan lebih teratur dan bijak.
“Menerusi BMS 2026, PTPTN komited untuk terus melahirkan masyarakat MADANI yang bertanggungjawab dan celik kewangan demi menjamin masa depan generasi muda negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kempen promosi BMS 2026 berlangsung dari 25 Sept hingga 1 Nov mengetengahkan tema “Di Bawah Lautan” (Under The Sea) berserta tanda pagar popular Jom Jadi Superhero Anak Anda.
Beliau berkata Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan menarik, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada para pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma kepada keluarga yang layak serta dividen yang kompetitif.
Sementara itu, kehangatan promosi turut menyerlah apabila sesi penyampaian hadiah cabutan diadakan bagi meraikan para pemenang daripada pelbagai kempen yang dianjurkan.
Pemenang utama Cabutan Simpan SSPN Baru Slay! Kategori Cabutan Slay 2 yang membawa pulang Yamaha NVX 155, Siti Aishah Mohd Noh, 28, berkata dia dan suami tidak menyasarkan memenangi sebarang hadiah ketika membuka akaun Simpan SSPN sebelum ini melainkan demi masa depan dua cahaya matanya.
“Sebagai penerima utama, saya bersyukur berjaya membawa pulang motosikal Yamaha NVX 155 hasil kesetiaan menabung untuk dua anak saya yang berusia tiga dan setahun setengah,” katanya.
Suri rumah yang menetap di kuarters tentera di Bukit Jalil itu turut meluahkan rasa gembira kerana keluarganya sangat menggalakkan dia dan suami konsisten menabung demi memastikan masa depan pendidikan anak-anaknya terjamin.
Bagi penerima kategori Cabutan Simpan SSPN Plus 2026 Kategori Cabutan WOW! Plus Siri 2, tuah menyebelahi seorang peniaga songkok berusia 66 tahun dari Gemas, Negeri Sembilan, Md Doli Mohd Nor.
Beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 hasil disiplin amalan menabung secara konsisten serendah RM1 sehari.
Bagi peringkat negeri, sambutan BMS 2026 akan diadakan di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 3 Okt termasuk beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.






