BMW Inginkan Pelumba Berpotensi Besar.

31 Jul 2025 • 5:00 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Maverick Vinales menolak tawaran lumayan daripada pasukan BMW WorldSBK yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi menggantikan Toprak Razgatlioglu. Sumber dari paddock mendedahkan BMW begitu serius dalam usaha membawa masuk pelumba Sepanyol itu dengan tawaran gaji yang tinggi serta jaminan status pelumba utama dalam projek mereka di Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK).

BMW dikatakan tertarik dengan pengalaman serta keupayaan teknikal Vinales yang kini sedang berlumba bersama pasukan Red Bull KTM Factory Racing di MotoGP. Tawaran itu dilihat sebagai langkah penting BMW untuk terus bersaing di barisan hadapan selepas pemergian Toprak ke MotoGP musim hadapan.

Namun Vinales mengambil keputusan untuk kekal di MotoGP kerana masih percaya dia memiliki potensi untuk bersaing di kelas premier tersebut. Dalam satu kenyataan ringkas, beliau menyatakan bahawa impiannya masih belum selesai di MotoGP dan dia mahu terus mengejar kejayaan di atas jentera prototaip.

Keputusan itu menutup pintu buat BMW yang kini perlu mencari alternatif lain bagi memperkukuhkan barisan pelumbanya. Bagi Vinales keputusannya jelas iaitu MotoGP masih menjadi keutamaan dan dia yakin peluang untuk menjejak podium tetap terbuka bersama KTM.