BN kuasai Johor dengan 48 kerusi, rakyat beri mandat besar untuk terus memerintah

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 2:39 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri dengan mandat kukuh daripada rakyat.

Keputusan rasmi itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas proses pengundian selesai, dengan Pakatan Harapan (PH) muncul sebagai pembangkang apabila memenangi lapan kerusi DUN.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 1,874,918 pengundi atau 68.73 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing sepanjang proses pengundian.

“Seramai 1,874,918 atau 68.73 peratus telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa yang telah mengundi.

“Secara keseluruhannya SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang telah berlangsung,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, lima parti lain yang bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk enam calon Bebas, gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN kali ini.

Keputusan tersebut menyaksikan BN terus mendominasi landskap politik Johor, manakala PH kekal sebagai satu-satunya gabungan pembangkang yang berjaya memperoleh kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

PRN Johor ke-16 menyaksikan persaingan melibatkan pelbagai parti politik dan calon Bebas bagi merebut kesemua 56 kerusi DUN, namun keputusan akhir memberikan mandat yang jelas kepada BN untuk meneruskan pentadbiran negeri bagi penggal akan datang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved