PRN Johor: Objektif Pas kekal kuasa politik Melayu-Islam tercapai

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 12:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Objektif Pas kekal kuasa politik Melayu-Islam tercapai
Mohd Syahir Che Sulaiman

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Objektif Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan tercapai apabila berjaya mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk serta mengekang kemaraan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), matlamat utama Pas tetap berjaya dicapai berdasarkan keputusan PRN Johor.

Menurutnya, keputusan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lapan kerusi dan PN gagal meraih sebarang kemenangan perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri itu.

"Namun objektif Pas tercapai iaitu mengekalkan kuasa politik Melayu-Islam dalam masyarakat majmuk dan mengekang kemaraan PH di Johor serta seterusnya di Parlimen.

"Faktor 'poster boy' Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan peralihan undi atas pagar termasuk sebahagian pengundi PN, khususnya Pas, turut menyumbang kepada kemenangan mutlak BN," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Syahir berkata, psikologi pengundi dalam pilihan raya negeri lazimnya cenderung memilih parti atau gabungan yang dilihat mempunyai keupayaan dan kewibawaan untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, PN juga tidak dilihat sebagai alternatif kepada BN dan PH di Johor kerana tidak menawarkan calon Menteri Besar serta manifesto yang cukup meyakinkan, selain berdepan penguasaan media dan jentera kerajaan di peringkat negeri serta Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan besar BN memberi UMNO kelebihan baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mengulas prestasi PH, Syahir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP merupakan pihak yang paling terkesan dengan keputusan PRN Johor.

Beliau turut berpandangan BN tidak boleh menganggap kemenangan di Johor sebagai petanda bahawa jenama parti itu telah kembali diterima sepenuhnya oleh rakyat.

Menurutnya, peralihan sokongan kepada BN di Johor lebih bersifat sementara kerana sebahagian rakyat mahu menolak PH, manakala PN pula gagal memposisikan diri sebagai alternatif yang diyakini pengundi.

Jelasnya, PN perlu memperkukuh kedudukannya di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Perak dan Pahang dengan mengetengahkan calon Menteri Besar yang berwibawa serta manifesto yang lebih meyakinkan bagi menghadapi PRU16.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved