BN menang di Johor bukti rakyat muak politik hasut, fitnah - Ahmad Jazlan

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 9:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BN menang di Johor bukti rakyat muak politik hasut, fitnah - Ahmad Jazlan
Ahmad Jazlan

KOTA BHARU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai isyarat jelas daripada rakyat yang menolak politik berasaskan hasutan dan fitnah, sebaliknya memilih kepimpinan yang berteraskan prestasi, kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurut beliau, keputusan PRN itu turut membuktikan pengundi kini lebih matang dalam membuat pilihan dengan menilai kemampuan sesebuah parti mentadbir berbanding dipengaruhi polemik dan sensasi politik.

Katanya, keputusan yang dibuat rakyat Johor membawa pelbagai pengajaran kepada semua pihak menjelang landskap politik negara yang semakin mencabar.

"Pengundi jelas menunjukkan isyarat bahawa mereka menolak kempen secara menghasut dan memfitnah. Mereka lebih melihat kepada prestasi daripada sensasi," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera BN di seluruh negara, khususnya BN Kelantan yang disifatkan sanggup mengorbankan masa, tenaga dan harta bagi membantu kempen calon-calon sepanjang PRN berlangsung.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan mengingatkan semua pemimpin, jentera dan penyokong BN agar tidak terlalu berbangga dengan kemenangan yang diraih.

Sebaliknya, beliau mengajak semua pihak terus merendah diri dan bersyukur kerana kemenangan itu merupakan anugerah daripada ALLAH SWT.

"Jangan sesekali kita mendabik dada, berasa sombong, ujub dan takabbur dengan kemenangan yang dianugerahkan ini," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi serta membuat pilihan bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, BN secara rasmi menang dengan majoriti besar 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 pada Ahad.

Pengumuman rasmi itu dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media SPR di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved