BN menang lagi, PH masih belum temui formula

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BN menang lagi, PH masih belum temui formula

KEDUDUKAN Barisan Nasional (BN) di Melaka nampaknya masih belum mudah digugat. Kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 memberi dimensi baharu kepada pihak lawan apabila kedua-dua parti berjaya menyusun kekuatan tanpa perlu bertembung sesama sendiri di kawasan yang ditandingi.

Hasilnya, BN memperoleh 21 kerusi, manakala PN tiga kerusi, sekali gus membolehkan kedua-duanya menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kemenangan pada Sabtu malam membuktikan pengaruh BN di negeri bersejarah itu masih berakar kuat meskipun landskap politik negara sudah beberapa kali berubah.

Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai pengalaman mentadbir negeri dan kerajaan Persekutuan gagal mencipta lonjakan untuk mencabar dominasi BN. Keputusan ini memperlihatkan penyatuan kekuatan politik sahaja belum memadai jika tidak disertai kemampuan menembusi kelompok pengundi yang selama ini menjadi sandaran lawan.

Walaupun jumlah kerusi kemenangan BN menyamai pencapaian pada PRN 2021, namun perubahan penguasaan di beberapa kawasan menunjukkan persaingan kali ini tetap memberikan cabaran tersendiri.

Antaranya, BN berjaya mengambil semula Sungai Udang daripada PN tetapi kehilangan Paya Rumput kepada gabungan berkenaan melalui kerjasama yang terjalin dan persefahaman lebih awal.

Keupayaan mengekalkan jumlah kerusi dalam keadaan persaingan yang berubah menggambarkan kekuatan jentera dan jaringan akar umbi BN masih mempunyai nilai. Faktor tempatan memainkan peranan kerana pengundi tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan sentimen politik nasional tetapi menilai rekod wakil rakyat, hubungan dengan masyarakat dan kemampuan mendekati pengundi.

Inilah kelebihan BN yang masih sukar ditandingi, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar yang kekal mempunyai sokongan akar umbi serta pengaruh politik tradisi.

PH GAGAL KELUAR DARIPADA LINGKUNGAN SENDIRI

PH pula berdepan masalah yang lebih besar daripada sekadar kehilangan kerusi berbanding PRN terdahulu. Empat kerusi (Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir) yang dimenangi semuanya disumbangkan DAP. Sementara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memenangi sebarang kerusi.

Tidak salah jika saya kata, pengaruh PH sekadar tertumpu di kawasan yang mempunyai asas sokongan sedia ada.

Kekalahan bekas Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari di Bukit Katil kepada calon Pas, Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif turut menjadi tamparan besar. Beliau bukan sekadar kehilangan kerusi, malah kekalahan itu memberikan gambaran kedudukan sebagai tokoh utama PH negeri tidak menjamin sokongan pengundi.

Di sinilah PH perlu menerima hakikat yang pengaruh politik tidak boleh dipertahankan hanya dengan bergantung kekuatan parti komponen tertentu.

Berdasar keputusan kelmarin, DAP terpaksa memikul sebahagian besar beban pilihan raya gabungan itu apabila PKR dan Amanah terus gagal membina tapak sendiri.

Sepanjang dua minggu berkempen, pendekatan memburukkan pihak lawan, termasuk mengulang tuduhan berkaitan isu ‘sakau’, terbukti tidak berkesan untuk meraih sokongan.

Sudah banyak kali rasanya penganalisis politik bercakap tentang hal ini tetapi nampaknya tidak dihiraukan PH.

Banyak kali juga penganalisis politik mengatakan pengundi bukan tidak mendengar atau memahami tuduhan yang dilemparkan tetapi mereka juga mahu melihat tawaran parti yang berkempen.

Apabila berkempen dengan mengulangi tuduhan sama berkali-kali tanpa membawa bukti baharu, penjelasan yang meyakinkan atau penyelesaian terhadap masalah rakyat, akhirnya hanya menjadikan kempen itu kedengaran seperti retorik politik. Ini boleh dilihat dalam kempen Grand Finale PH oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.

BERSAMA, BERSATU GAGAL JADI PENENTU

Dalam perkembangan lain, kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberikan gambaran tentang kedudukan parti-parti di luar gabungan utama.

Ada yang kata kedua-duanya ‘kalah dengan bergaya’ apabila gagal memenangi sebarang kerusi, sekali gus memperlihatkan kehadiran calon tambahan tidak mampu mengubah percaturan pilihan raya.

Bersama yang bertanding di 16 kerusi mencatatkan keputusan mengecewakan apabila 15 daripada calonnya kehilangan wang deposit. Hanya calon di Bemban berjaya melepasi paras minimum untuk mengekalkan deposit. Ini bermakna, parti tersebut masih belum mempunyai pengaruh cukup kuat untuk menarik sokongan pengundi secara meluas.

Bersatu bertanding di lapan kerusi menggunakan logo sendiri. Tidak kurang yang melihat keputusan ini memberikan tamparan kepada parti berkenaan yang pernah menjadi antara pemain utama dalam percaturan politik negara.

Walaupun parti itu melebarkan sayap dan membina pengaruh sejak beberapa tahun lalu, namun masih belum cukup untuk diterjemahkan kepada sokongan yang menghasilkan kemenangan selain terpaksa berhadapan cabaran mempertahankan relevansinya selepas melalui pelbagai perubahan politik.

PRN Melaka kali ini juga memperlihatkan strategi mengharapkan perpecahan undi lawan tidak membawa hasil. Kehadiran Bersama tidak menghasilkan kesan besar seperti yang mungkin diharapkan, manakala Bersatu juga gagal menunjukkan kekuatan yang mampu mengubah keputusan di kawasan ditandingi.

Saya boleh kata, kehadiran kedua-dua parti ini sekadar menambah bilangan calon tanpa mengubah peta penguasaan negeri kerana mereka tiada jaringan akar umbi, kekuatan jentera dan keyakinan terhadap hala tuju parti.

ISYARAT MENJELANG PRU16

Keputusan PRN Melaka sepatutnya membuka ruang untuk PH melihat semula kedudukan dan kekuatan sebenarnya. Gabungan itu perlu belajar yang kekalahan tidak boleh terus diletakkan di bahu calon, kelemahan pembahagian kerusi atau pertandingan banyak penjuru.

Sama ada mereka sedar atau tidak, kelemahan PH adalah apabila masih gagal meraih sokongan di luar kawasan tradisi. Selagi PH gagal mendekati pengundi yang memilih BN dan PN, usaha untuk merampas semula Melaka akan terus berdepan kesukaran.

PRN kali ini juga memperlihatkan kemenangan tidak datang hanya kerana pihak lawan mempunyai kelemahan tetapi BN membuktikan kekuatannya melalui keupayaan mempertahankan sokongan yang dibina sekian lama, sedangkan PH masih bergelut untuk meluaskan pengaruh.

Justeru, PH perlu membuktikan mereka bukan sekadar mampu mempertahankan kerusi sedia ada tetapi boleh meraih kepercayaan masyarakat yang selama ini belum menyebelahi mereka. Tanpa usaha itu, PH mungkin terus mengulangi keputusan yang sama, walaupun landskap politik berubah. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

The post BN menang lagi, PH masih belum temui formula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved