Kemalangan rampas tangan, bukan impian -- Ini kisah luar biasa Manami Ito

28 Nov 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

Kemalangan rampas tangan, bukan impian -- Ini kisah luar biasa Manami Ito

Kehilangan tangan kanan akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 20 tahun tidak pernah memadamkan impian Manami Ito untuk terus berbakti kepada masyarakat, malah wanita Jepun itu membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencipta sejarah dalam sukan, kerjaya dan dunia muzik.

Bekas perenang para Jepun itu mencuri perhatian dunia apabila diiktiraf Guinness World Records 2027 sebagai individu pertama memainkan biola menggunakan lengan prostetik sepenuhnya.

Pengiktirafan itu diberikan susulan persembahannya dalam satu persidangan perubatan di Kobe, Jepun, pada 5 Ogos 2012, sekali gus mengangkat perjalanan luar biasa seorang wanita yang enggan tunduk kepada takdir.

Lebih mengagumkan, Ito bukan sahaja berjaya membina semula kehidupan selepas kehilangan anggota badan, malah pernah mewakili Jepun dalam dua edisi Sukan Paralimpik sebelum mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik.

Segalanya berubah pada 2004 apabila Ito terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika sedang mengikuti pengajian untuk menjadi jururawat.

Kehilangan tangan kanannya ketika itu membuatkan dia menyangka impian untuk menjadi jururawat dan bermain biola mungkin berakhir buat selama-lamanya.

Dalam satu temu bual bersama Chichi, Ito mengakui pernah menyalahkan diri sendiri kerana merasakan dirinya telah merosakkan tubuh badan sihat yang dibesarkan oleh ibu bapanya.

Namun, sokongan keluarga dan pakar anggota prostetik membantu Ito membina semula keyakinan, sehingga berjaya menjadi jururawat pertama di Jepun yang bekerja dalam persekitaran hospital dengan menggunakan lengan prostetik di sebuah fasiliti kesihatan di Kobe.

Dalam tempoh pemulihan, Ito turut menemui jalan baharu menerusi sukan renang yang pada awalnya dilakukan sebagai sebahagian daripada proses rehabilitasi.

Bakatnya kemudian berkembang sehingga berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Beijing 2008, dengan pencapaian tempat keempat acara 100 meter kuak dada dan kelapan 100 meter kuak kupu-kupu.

Dia kemudian meraih pingat perak 100 meter kuak dada pada Sukan Para Asia 2010 sebelum sekali lagi beraksi di pentas Paralimpik London 2012, menamatkan saingan di tempat kelapan acara sama.

Selepas London, Ito mengambil keputusan bersara daripada renang kompetitif untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya kejururawatan dan kehidupan berkeluarga. Dia kemudian mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Namun, ada satu janji yang masih belum ditunaikan — bermain biola untuk ibunya.

Sebelum kemalangan, Ito sememangnya meminati muzik biola. Ibunya yang mengetahui minat mendalam itu pernah meminta memainkan lagu untuknya suatu hari nanti.

Bagaimanapun, selepas melihat kesukaran anaknya melakukan perkara asas seperti memegang penyepit makanan, ibunya menyangka Ito tidak mungkin dapat bermain biola lagi.

“Saya teringat bahawa saya masih belum menunaikan janji kepada ibu yang pernah meminta saya bermain untuknya suatu hari nanti.

“Selepas menyedari perkara itu, saya membuat keputusan untuk bermain biola untuk ibu dengan apa jua cara yang mampu,” katanya kepada Guinness World Records.

Keinginan menunaikan janji itu mendorong Ito mendapatkan bantuan pakar untuk menghasilkan lengan prostetik khas yang mampu memegang penggesek biola.

Sistem kabel yang disambungkan kepada bahu membolehkannya mengawal pergerakan sendi prostetik, namun proses menghasilkan bunyi memerlukan koordinasi tubuh yang cukup rumit.

Ito perlu menggunakan pergerakan bahu dan badan untuk mengawal sudut, tekanan serta kekuatan penggesek bagi menghasilkan alunan muzik yang dikehendaki.

Memandangkan kekuatan yang mampu dihasilkan tidak sama seperti sebelum kemalangan, Ito turut menggunakan penggesek selo yang lebih berat dengan tambahan pemberat bagi membantunya mengawal pergerakan.

Usaha itu bukan sesuatu yang mudah apabila memerlukan masa tiga tahun berlatih sebelum berasa cukup bersedia untuk membuat persembahan di hadapan khalayak.

Pada mulanya, Ito berasa keberatan untuk muncul di pentas, namun akhirnya memilih untuk melakukannya sebagai tanda penghargaan kepada pasukan pakar prostetik yang membantunya mendapatkan semula keyakinan diri.

Kemuncak perjalanan muziknya hadir menerusi persembahan pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Nasional Jepun.

Dengan penggesek biola terpasang pada lengan prostetiknya, Ito menghasilkan alunan muzik yang menjadi antara detik paling diingati dalam majlis pembukaan berkenaan.

“Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akhirnya berpeluang menyertai upacara itu sebagai seorang penghibur, sedangkan sebelum ini saya tidak berjaya menyertainya sebagai atlet,” katanya.

Daripada seorang atlet Paralimpik kepada jururawat dan kini pemegang rekod dunia, perjalanan Ito membuktikan bahawa kehilangan anggota badan bukan bermakna seseorang perlu kehilangan seluruh impian.

Lebih daripada sekadar pengiktirafan Guinness World Records, pencapaian itu membawa makna lebih mendalam buat Ito — akhirnya berjaya menunaikan janji kepada insan yang paling dekat di hatinya, ibunya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved