IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak berharap momentum kemenangan dalam pilihan raya dapat diteruskan seperti yang dicapai di Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun kemenangan itu memberi isyarat positif, ia bukan jaminan berterusan kerana corak pengundian boleh berubah mengikut situasi semasa.
“Pertama, saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Johor yang telah mengundi serta tahniah kepada semua petugas yang terlibat.
“Kita harap gelombang kemenangan itu kekal, tetapi kita tidak tahu kerana pengundi ini dinamik dan boleh berubah-ubah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Astana Chemor di sini pada Ahad.
Mengulas sama ada kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi petunjuk bahawa rakyat kembali menyokong parti itu, Saarani menegaskan ia tidak boleh ditafsirkan secara mudah.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit
[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16
BN menang besar 48 kerusi DUN Johor - SPR
[RASMI] PRN Johor: SPR umum BN menang besar 48 kerusi DUN Johor
SPR teliti isu muat naik kertas undi sudah dipangkah di media sosial
Anwar ucap tahniah kepada BN, janji Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor
[RASMI] PRN Johor: Pas hilang kubu terakhir
PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan
Katanya, sejarah lalu menunjukkan keputusan pilihan raya negeri tidak semestinya mencerminkan keputusan di peringkat Persekutuan.
“Kalau kita ingat PRN Melaka 2021 dan PRN Johor 2022, memang BN menang. Tetapi apabila datang Pilihan Raya Umum (PRU), keputusannya berbeza.
“Jadi, ia tidak boleh dianggap sebagai petunjuk,” jelasnya.
Tambah beliau, pelbagai faktor semasa seperti kos sara hidup, keadaan ekonomi dan bencana turut mempengaruhi sentimen pengundi.
“Sebab itu walaupun kita bersyukur, ia tidak boleh diambil mudah. Banyak perkara boleh mempengaruhi seperti harga barang, hujan, banjir dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perak itu enggan mengulas isu desakan supaya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meletakkan jawatan susulan keputusan PRN Johor.
Katanya, dalam sesetengah situasi dan sebagai ahli politik, ada kalanya mereka boleh terlepas cakap.
“Itu tak boleh komen. Saya pun ahli politik. Kadang-kadang kita boleh terlepas cakap,” katanya.
PRN Johor ke-16 menyaksikan BN memperoleh mandat untuk menerajui semula kerajaan negeri selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Orang Asli Malaysia (Asli), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.


