‘BN Plus’ antara formula hadapi PRN Melaka

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 3:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘BN Plus’ antara formula hadapi PRN Melaka

MELAKA: Konsep ‘BN Plus’ bakal menjadi antara formula yang dipertimbangkan Barisan Nasional (BN) Melaka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan tidak lama lagi.

Pengerusinya BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan parti itu terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang mampu memperkukuhkan kedudukan gabungan tersebut.

Menurut beliau, keterbukaan itu bagaimanapun bukan bermaksud BN akan menerima semua bentuk kerjasama, sebaliknya setiap cadangan akan dinilai secara teliti berdasarkan kelebihan yang mampu dibawa kepada parti.

“Melaka bersedia dalam apa juga bentuk gabungan. Kita panggil BN Plus. Siapa juga boleh datang berunding, tetapi rundingan tidak semestinya berakhir dengan perjanjian ataupun persetujuan.

“Ia bergantung kepada kelebihan masing-masing. Kita tidak terikat dengan mana-mana ikatan yang belum dimuktamadkan secara rasmi sebagai satu gabungan. Apa yang penting ialah kepentingan parti dan negeri Melaka perlu didahulukan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, sebagai sebuah negeri yang mempunyai kekuatan politik tersendiri, BN Melaka berhak menilai semua cadangan kerjasama yang dikemukakan tanpa terikat kepada mana-mana pihak.

Katanya, rundingan politik merupakan perkara biasa dalam landskap politik semasa dan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai petanda sesuatu gabungan telah dimuktamadkan.

Mengulas mengenai kemenangan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semalam, Ab. Rauf berkata, keputusan tersebut memberi suntikan semangat kepada kepimpinan dan jentera BN Melaka untuk terus memperkukuhkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Beliau berkata, kemenangan itu menjadi bukti bahawa rakyat semakin mengutamakan kestabilan politik serta prestasi pentadbiran kerajaan dalam membuat pilihan.

“Selepas Pilihan Raya Negeri Johor, kemudian Pilihan Raya Negeri Sembilan semalam, sudah tentu ia menyemarakkan semangat kita untuk membawa momentum kemenangan itu ke Melaka.

“Tarikhnya belum diketahui, tetapi persediaan perlu dilakukan dari sekarang. Kita mahu memastikan jentera terus bekerja mendekati rakyat dan menyampaikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keputusan di Negeri Sembilan sebagai perkembangan positif yang mampu meningkatkan keyakinan akar umbi BN untuk terus memperkukuhkan sokongan rakyat di Melaka.

Menurut beliau, apa yang lebih penting ketika ini ialah memastikan kerajaan negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana itulah ukuran sebenar yang akan dinilai oleh pengundi.

Beliau berkata, pendekatan turun padang menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat akan diteruskan ke semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan kerajaan mendengar sendiri setiap aduan dan keperluan rakyat.

“Rakyat hari ini tidak mahu sekadar mendengar janji. Mereka mahu melihat hasil kerja. Sebab itu kita turun sendiri bertemu rakyat, menyelesaikan masalah mereka dan memastikan setiap aduan diberi tindakan segera,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ab. Rauf turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim yang dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

“Kita menghormati keputusan rakyat Negeri Sembilan dan berharap kerajaan yang dibentuk dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post ‘BN Plus’ antara formula hadapi PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved