PRN Melaka: BN Melaka terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 1:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: BN Melaka terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak
Ab Rauf

MELAKA - Barisan Nasional (BN) Melaka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di bawah formula BN Plus, kata Pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, beliau membuka pintu seluas-luasnya untuk mana-mana pihak yang ingin berunding dengan parti tersebut bagi menghadapi PRN kali ini.

"Siapa juga boleh datang berunding, tapi runding tidak semestinya berakhir dengan perjanjian atau pun persetujuan... ia melihat kepada kelebihan masing-masing.

"Jadi kita tak terikat dalam mana-mana satu ikatan yang belum lagi dijadikan secara formal sebagai gabungan muktamad, tetapi saya terbuka kepada semua orang untuk datang berunding dengan saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata kejayaan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan dijangka menjadi pemangkin kepada gabungan itu untuk meneruskan momentum kemenangan pada PRN Melaka akan datang.

Ab Rauf turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim atas pelantikan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan baharu.

Beliau berharap Ismail dapat melaksanakan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang terbaik sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, Ismail memenangi kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 selepas meraih 6,907 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Aidil Abdullah yang memperoleh 2,816 undi dan Mohd Zuhaimi Md Yusof daripada Bersatu dengan 506 undi.

Pada PRN itu, BN memenangi 18 kerusi DUN, PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan tujuh kerusi.

Kerajaan Negeri Sembilan dibentuk menerusi kerjasama BN dan PN. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved