
MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen yakin mampu mempertahankan kawasan itu, meskipun berdepan cabaran gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Chau Yen berkata, pengalaman sebagai penyandang kerusi menjadi antara kelebihannya kerana sudah mengenali penduduk serta memahami masalah setempat.
Menurutnya, perjalanan kempen setakat ini menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk mengekalkan kemenangan PH di kerusi berkenaan.
“Setakat ini kempen berjalan dengan baik dan saya optimis kita akan peroleh kemenangan sebab kalau nak pergi berperang kena ada keyakinan, jadi saya yakin,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di sekitar Banda Hilir di sini, hari ini.
Mengulas persaingan susulan gabungan BN dan PN, Chau Yen mengakui cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha mempertahankan Bandar Hilir.
Bagaimanapun, beliau optimis berdasarkan pengalamannya berkhidmat dan hubungan yang telah dibina bersama penduduk.
Katanya, antara perkara yang menjadi perhatian masyarakat setempat ialah isu infrastruktur yang masih memerlukan penambahbaikan dan kerja menaik taraf.
Chau Yen memenangi kerusi Bandar Hilir pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 7,778 undi menewaskan Lee Kah Sean (BN) yang memperoleh 1,313 undi dan Clarice Chan Ming Wang (PN) dengan 634 undi daripada keseluruhan 19,909 pengundi berdaftar.-UTUSAN
The post BN-PN bergabung, Chau Yen yakin pertahan Bandar Hilir appeared first on Utusan Malaysia.






