Jezlee mahu ‘hidupkan’ semula RTC, Sungai Rambai Aerodrome

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 8:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jezlee mahu ‘hidupkan’ semula RTC, Sungai Rambai Aerodrome

JASIN:  Menghidupkan semula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai dan Sungai Rambai Aerodrome selain membangunkan sebuah bandar baharu menjadi antara perancangan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit.

Menurutnya, usaha itu merupakan antara yang perlu diberi perhatian bagi mengembalikan potensi pembangunan kawasan berkenaan serta memastikan kemudahan dan projek sedia ada tidak terus terbiar tanpa dimanfaatkan.

Beliau berkata, terdapat beberapa projek lama yang masih mempunyai potensi untuk dibangunkan semula namun memerlukan penelitian dan pendekatan baharu supaya bersesuaian dengan keperluan semasa penduduk.

“Pertama sekali, saya mahu meneruskan projek atau program lama yang sudah sedia ada tetapi mungkin tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu.

“Antaranya, kita mahu menghidupkan semula kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Gerbang Selatan supaya kembali ceria dan menjadi lokasi persinggahan yang menarik berbanding keadaannya sejak dulu agak suram,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk semalam.

Beliau berkata, selain kawasan R&R, Sungai Rambai Aerodrome juga antara kemudahan yang mahu diberi perhatian bagi mengenal pasti potensi untuk dihidupkan semula.

Bekas Penghulu di DUN Merlimau berkata, bagaimanapun, cadangan itu memerlukan kajian terlebih dahulu bagi menentukan kaedah bersesuaian memandangkan terdapat beberapa aspek teknikal perlu dipertimbangkan.

“Lapangan terbang itu juga kita akan cuba hidupkan kembali. Kita perlu melihat apakah kaedah yang boleh dilaksanakan kerana mungkin ada beberapa perkara yang di luar jangkaan kita,” katanya.

Jezlee berkata, beliau turut merancang pembangunan sebuah bandar baharu di pekan Sungai Rambai bagi menggantikan rumah kedai papan yang usang yang berpotensi menjadi mercu tanda baharu.

Selain pembangunan infrastruktur, Jezlee mahu memanfaatkan kelebihan Sungai Rambai yang mempunyai kawasan sawah padi menarik sebagai produk pelancongan berasaskan agro-pelancongan.

Katanya, kawasan berkenaan boleh dikembangkan dan mampu menarik kehadiran pengunjung.-UTUSAN

The post Jezlee mahu ‘hidupkan’ semula RTC, Sungai Rambai Aerodrome appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved