
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan memaksa Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan parti berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut beliau, BN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.
“Itu hak dia (PH), jika tidak mahu bekerjasama.
“Kita tak boleh paksa kerana itu parti mereka (PH), namun, kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 di Menara MARA, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan PH tidak akan bersama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengarah Komunikasi parti Amanah, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, perkara tersebut sudah diputuskan PH dan setakat ini, gabungan tersebut terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti lain kecuali BN serta Perikatan Nasional (PN).
Ia susulan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari yang meminta BN menjelaskan pendiriana berhubung kemungkinan kerjasama menghadapi PRN Melaka berikutan tiada perkembangan mengenai pertemuan antara kedua-dua pihak setakat ini.
Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, BN juga masih di peringkat rundingan dan belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka.
“Setakat ini sedang berunding. Kita tunggu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum umum tarikh. Masih jajaran politik yang sama,” katanya.
The post BN terbuka, tak paksa PH kerjasama di PRN Melaka appeared first on Kosmo Online.






