PH belum putuskan rakan kerjasama untuk PRN Melaka, nafi spekulasi tersebar

LocalPolitics
30 Sep 2026 • 4:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PH belum putuskan rakan kerjasama untuk PRN Melaka, nafi spekulasi tersebar

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan berhubung rakan kerjasama yang akan dipilih bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengarah Komunikasinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik PH perlu diputuskan Majlis Presiden PH dan tidak boleh didahului mana-mana pimpinan.

“Kita belum buat apa-apa keputusan untuk PH. Tidak ada pimpinan yang akan mendahului keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan, kecuali kuasa itu telah diturunkan kepada Pakatan Harapan Melaka.

“Jadi mana-mana pihak yang memberikan pandangan harus dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Presiden dan semestinya Pengerusi Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dalam sidang akhbar di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai spekulasi PH yang berhasrat mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta persoalan berhubung kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Menurut Fahmi, PH di Melaka ketika ini sedang mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pihak bagi meneliti bentuk persefahaman atau kerjasama yang bersesuaian.

“Dan pada waktu ini, pihak PH di Melaka memaklumkan bahawa mereka mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pihak untuk melihat kesesuaian sama ada bentuk persefahaman ataupun bentuk kerjasama, apa yang sesuai, apa yang tak sesuai,” katanya.

Katanya, proses perbincangan itu masih berjalan dan PH masih mempunyai masa sebelum keputusan mengenai bentuk kerjasama serta rakan pilihan raya dimuktamadkan.

“Tapi kita masih ada masa. Akhirnya untuk PH, keputusan akan dibuat dan dimaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan. So kita tunggu sedikit masa,” katanya.

Fahmi berkata, sebarang pandangan atau kenyataan mengenai bentuk kerjasama PH pada PRN Melaka perlu mengambil kira keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu.

Beliau menegaskan bahawa setakat ini belum ada keputusan rasmi PH berhubung rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan. – UTUSAN

The post PH belum putuskan rakan kerjasama untuk PRN Melaka, nafi spekulasi tersebar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved