BN usah terlalu yakin ‘tapau’ PRU

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BN usah terlalu yakin ‘tapau’ PRU

DESAKAN beberapa pemimpin politik khususnya UMNO bagi mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebelum tempoh Parlimen tamat tahun depan memberi gambaran seolah-olah parti terbesar Melayu itu sudah bersedia sepenuhnya.

Keyakinan itu wajar susulan momentum kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor selain pengukuhan kedudukan di Negeri Sembilan, sekali gus memberi keyakinan baharu untuk berdepan PRU16.

Bagaimanapun, UMNO dilihat tidak boleh terlalu selesa dengan momentum tersebut berikutan ia tidak boleh diterjemahkan secara automatik sebagai kemenangan dalam PRU ekoran pola keluar mengundi, isu nasional dan persaingan kerusi Parlimen begitu berbeza.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, gesaan UMNO untuk mengadakan PRU16 segera dilihat wajar memandangkan parti itu mungkin melihat tempoh sekarang sebagai peluang terbaik sebelum sentimen pengundi berubah.

“Namun kemenangan dalam PRN tidak boleh diterjemahkan secara automatik sebagai kemenangan dalam PRU kerana isunya berbeza berbanding di negeri ketika pemilihan sebelum ini.

“Oleh itu, saya lihat secara keseluruhannya gesaan tersebut mempunyai asas politik, tetapi menyegerakan PRU tanpa persediaan nasional oleh parti sekutu UMNO dalam BN juga satu perjudian besar,” katanya.

Sebelum ini, ketika berucap pada Perhimpunan Agong UMNO (PAU), Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan dengan menegaskan mandat perlu segera dipulangkan kembali kepada rakyat.

Gesaan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi yang mana ada yang menyokong selain ada menyifatkan sebagai terlalu bercita-cita tinggi berikutan sentimen rakyat sentiasa berubah-ubah.

Dalam konteks ini, UMNO tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan kerana sentimen politik pada hari ini begitu cair serta berubah.

“Perhatian awam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin meningkat di media sosial selepas PAU, seterusnya menunjukkan naratif UMNO turut mendapat reaksi balas khususnya daripada penyokong kerajaan dan pengundi sederhana.

“Namun media sosial juga bukan ukuran mutlak keseluruhan pengundi kerana cabaran UMNO ialah mengubah kemenangan negeri menjadi keyakinan nasional.

“Ia dengan menawarkan penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan golongan muda,” katanya.

Untuk itu, Mohammad Tawfik berkata, UMNO perlu tampil sebagai parti yang bukan sahaja mahu kembali berkuasa tetapi benar-benar mempunyai agenda pentadbiran yang lebih baik.

“UMNO masih boleh mendesak untuk PRU16, tetapi jangan terlalu menonjol tindakan itu sehingga kelihatan terlalu mendesak atau terlalu yakin.

“Parti itu perlu menggunakan masa yang ada untuk memperkukuh organisasi, menyelesaikan pembahagian kerusi, menentukan rakan politik yang jelas dan mengetengahkan calon yang bersih, berwibawa serta diterima masyarakat,” jelasnya.

Pada masa masa, menteri UMNO yang berada dalam Kabinet perlu menunjukkan pencapaian yang boleh dirasai rakyat untuk meningkatkan keyakinan pengundi.

“Tarikh terbaik mengadakan PRU bukan semata-mata ketika UMNO sedang menikmati momentum, tetapi apabila parti mempunyai formula kerjasama, calon dan tawaran dasar yang jelas.

“Momentum boleh membuka peluang, namun hanya kesiapsiagaan mampu menghasilkan kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post BN usah terlalu yakin ‘tapau’ PRU appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved