Taraf Liga Super sepatutnya profesional

LocalFootball
2 Sep 2026 • 7:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Taraf Liga Super sepatutnya profesional

PETALING JAYA: Pelbagai episod yang mewarnai saingan awal Liga Super 2026/27 seolah-olah memberi gambaran bahawa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih tercari-cari rentak dalam menguruskan liga profesional bola sepak negara.

Malah, isu berbangkit pada permulaan liga turut mengundang persoalan besar adakah MFL masih ‘baru’ dalam mengendalikan pentas tertinggi bola sepak negara?

Persoalan sebegini dibangkitkan selepas beberapa isu sudah menghiasi perjalanan liga termasuk kes membabitkan Kuala Lumpur (KL) City yang gagal bermain pada perlawanan pertama susulan masalah kekurangan pemain yang dikaitkan dengan jangkitan influenza.

Kontroversi itu tidak berakhir di situ apabila The City Boys sekali lagi menjadi perhatian peminat apabila terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain ketika tewas 0-6 di tangan Kuching City.

Situasi berkenaan pastinya menimbulkan persoalan bagaimana sesebuah pasukan boleh memulakan kempen Liga Super dalam keadaan tidak mempunyai jumlah pemain yang mencukupi untuk mengharungi perlawanan.

Sementara itu, nasib hampir sama dilalui Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) apabila masih berdepan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menyebabkan mereka bergelut membentuk skuad kompetitif sehingga menjadi pasukan belasahan apabila dibolosi 18 gol dalam tiga perlawanan.

MFL sepatutnya bertindak lebih awal dalam menangani kemelut ini memandangkan badan itu mengendalikan proses pelesenan, pendaftaran pemain, serta pemantauan kesiapsiagaan pasukan sebelum tirai musim.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli melihat situasi itu sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan bersetuju dengan tanggapan segelintir peminat bahawa Liga Super seolah-olah sudah bertukar menjadi ‘liga sarkas’.

“Ini kali pertama dalam liga profesional kita apabila musim baharu bermula tetapi ada pasukan tidak cukup pemain untuk didaftarkan sehingga tidak cukup pemain untuk bermain,” kata kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Pekan, kesalahan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pasukan kerana MFL juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap sebarang kelemahan yang berlaku dalam pengurusan pertandingan.

Katanya, MFL sepatutnya mengetahui status setiap pasukan, termasuk jumlah pemain yang didaftarkan dan kemampuan mereka memenuhi syarat ditetapkan, sebelum saingan bermula.

“Ini Liga Super, bukannya liga biasa. Situasi seperti ini memalukan dan merosakkan imej liga, bukan hanya imej KL City sahaja. Jika pasukan itu sememangnya bermasalah kenapa perlu luluskan mereka beraksi,” ujarnya. – UTUSAN

The post Taraf Liga Super sepatutnya profesional appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved