BNM, bank pusat Filipina mahu perluas pembayaran rentas sempadan dan transaksi mata wang tempatan

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BNM, bank pusat Filipina mahu perluas pembayaran rentas sempadan dan transaksi mata wang tempatan Image from: BNM, bank pusat Filipina mahu perluas pembayaran rentas sempadan dan transaksi mata wang tempatan sarah20/11/2026 - 17:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank pusat Filipina, Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pembayaran rentas sempadan dan transaksi mata wang tempatan bagi menyokong pembangunan sektor kewangan serta integrasi kewangan serantau.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua bank pusat hari ini, sekali gus mewujudkan rangka kerja rasmi bagi memperluas kerjasama dalam bidang perbankan pusat dan pembangunan sektor kewangan.

 

Menurut kenyataan bersama BNM dan BSP, kerjasama itu turut merangkumi pembangunan kewangan Islam, inovasi kewangan dan pendigitalan, selain usaha memperkukuh hubungan antara institusi kewangan kedua-dua negara.

 

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pemeteraian MoU itu tepat pada masanya memandangkan landskap kewangan dan ekonomi semakin kompleks serta memerlukan kerjasama lebih erat antara bank pusat.

 

"MoU ini dimeterai pada waktu yang sesuai memandangkan landskap kewangan dan ekonomi menjadi semakin kompleks.

 

"Berasaskan hubungan kerjasama erat yang sedia terjalin, MoU ini akan membolehkan BNM dan BSP memperkukuh keutamaan bersama, saling belajar antara satu sama lain, meneroka peluang baharu dan menangani cabaran yang sedang muncul secara bersama," katanya.

 

Perkukuh infrastruktur kewangan serantau

Sementara itu, Gabenor BSP, Eli M. Remolona Jr. berkata, perjanjian berkenaan menandakan satu lagi kemajuan penting dalam hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua bank pusat.

 

"Setelah asas kerjasama yang kukuh diwujudkan, ukuran kejayaan seterusnya terletak pada keupayaan kita untuk membina institusi yang lebih mantap, infrastruktur kewangan yang lebih baik, serta program praktikal yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat bagi kedua-dua negara," katanya.

 

Kedua-dua bank pusat turut menyasarkan supaya rangka kerja kerjasama itu dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan inisiatif yang memberikan manfaat nyata kepada ekonomi Malaysia dan Filipina.

 

Kerjasama tersebut juga dijangka menyokong usaha memperdalam integrasi kewangan serantau, khususnya melalui pembangunan sistem pembayaran, penggunaan mata wang tempatan dan perkongsian pengetahuan dalam sektor kewangan.

 

MoU berkenaan mencerminkan komitmen BNM dan BSP untuk meneroka peluang kerjasama baharu serta menangani cabaran sektor kewangan secara bersama dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved