sarah18/11/2026 - 14:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan momentum pelaburan pusat data di Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) terhadap penghantaran cip kecerdasan buatan (AI), ketika eksport elektrik dan elektronik (E&E) negara melonjak 66.9% pada suku ketiga 2026.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, masih terlalu awal untuk menilai kesan sebenar sekatan itu kerana perkembangan dasar perdagangan dan teknologi AS masih berlangsung, namun permintaan asas terhadap pelaburan pusat data kekal kukuh.
“Masih terlalu awal untuk kita menilai kesannya kerana perkara ini masih berkembang. Berdasarkan anggaran kami terhadap projek yang sedang berjalan dan dirancang, momentum pelaburan dijangka kekal kukuh,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku ketiga 2026, hari ini.
Beliau berkata, daripada kira-kira 120 syarikat yang terlibat dalam sektor pusat data Malaysia, hanya 17 syarikat atau sekitar 13% berasal dari China, manakala pelabur lain termasuk dari AS, Australia, Kanada dan Malaysia, mencerminkan kepelbagaian sumber pelaburan industri berkenaan.
Pelaburan pusat data meningkat 44.5%
Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan diluluskan bagi projek pusat data dan pengkomputeran awan mencecah RM123.5 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 44.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pelaburan itu melibatkan 86 projek dan menyumbang 35.2% daripada keseluruhan pelaburan diluluskan dalam tempoh berkenaan, berbanding 29.4% setahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan kepentingan infrastruktur digital kepada ekonomi negara.
Abdul Rasheed berkata, Malaysia akan terus mengekalkan pendekatan perdagangan berasaskan peraturan dan terbuka kepada pelaburan antarabangsa, manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai sekatan cip AI.
Eksport semikonduktor hampir berganda kepada RM136 bilion
Sementara itu, eksport E&E Malaysia melonjak 66.9% tahun ke tahun pada suku ketiga 2026, meningkat daripada pertumbuhan 48.2% pada suku kedua dan 19.8% pada suku pertama, didorong permintaan kukuh terhadap semikonduktor serta komponen elektronik berkaitan AI.
Eksport semikonduktor meningkat 96% kepada RM136 bilion, manakala eksport jentera elektrik berkembang 26% kepada RM44 bilion dan peralatan pejabat serta pengkomputeran meningkat 38% kepada RM26 bilion, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pembuatan kepada 7.7% berbanding 7.3% pada suku sebelumnya.
Industri E&E turut menarik pelaburan pembuatan diluluskan sebanyak RM40.8 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 85.3% tahun ke tahun, mencerminkan minat pelabur terhadap pembuatan semikonduktor dan aktiviti teknologi bernilai tinggi.
Buku tempahan E&E kukuh sehingga 18 bulan
Mengulas mengenai risiko kebergantungan Malaysia terhadap permintaan AI, Abdul Rasheed berkata, pengeluar E&E tempatan masih mempunyai buku tempahan yang kukuh bagi tempoh antara 12 hingga 18 bulan berdasarkan sesi libat urus BNM dengan pemain industri.
Beliau menjangkakan kitaran pertumbuhan teknologi global berterusan sehingga 2027, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding pertumbuhan luar biasa sebelum ini, dengan penggunaan AI yang semakin meluas terus menyokong permintaan terhadap produk E&E Malaysia.
Dari segi produktiviti, data BNM menunjukkan produktiviti buruh sektor E&E meningkat 14.2% tahun ke tahun pada suku kedua 2026, jauh mengatasi purata pertumbuhan tahunan 4.2% sebelum pandemik antara 2016 hingga 2019, manakala pekerjaan mahir berkembang secara purata 7% dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Abdul Rasheed menegaskan bahawa pertumbuhan industri teknologi negara bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil dasar yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu untuk menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh ekosistem E&E dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa prospek ekonomi masih terdedah kepada risiko luaran termasuk perubahan dasar perdagangan global, ketegangan geopolitik dan kemungkinan gangguan rantaian bekalan teknologi, namun kepelbagaian sektor ekonomi serta pasaran eksport dijangka membantu Malaysia menghadapi ketidaktentuan tersebut. - DagangNews.com





