BANK Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran terhadap Setel Ventures Sdn Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, dan Standard Chartered Saadiq Bhd atas kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (TFS).
BNM dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan Setel dikenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM637,000 pada 15 April 2026, kerana gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan.
"Setel juga gagal melakukan saringan sekatan ke atas seluruh pangkalan data pelanggan mengikut Senarai Domestik untuk mengenal pasti sama ada padanan yang berpotensi merupakan padanan tepat,” maklum bank pusat.
Menurut BNM, ketidakpatuhan itu berpunca daripada kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan sistem saringan sekatan Setel.
"Bagaimanapun Setel telah menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan mengemas kini dan membaiki kelemahan SOP serta menambah baik sistem dalaman bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS,” maklum BNM.
Pada 6 Mei 2026, Setel telah membayar RM637,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, BNM memaklumkan telah mengenakan AMP sebanyak RM132,000 terhadap Standard Chartered Bank Malaysia (SCB) dan Standard Chartered Saadiq (SCS) selepas gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan.
"Ini menyebabkan saringan sekatan dilakukan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini. Bagaimanapun, tiada entiti yang tersenarai telah didaftar sebagai pelanggan yang baharu dan (kedua-dua) bank itu tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.
"Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam kawalan saringan sekatan bank-bank tersebut, serta kelemahan dalam memastikan proses saringan tersebut sejajar dengan keperluan kawal selia,” menurut bank pusat.
BNM memaklumkan kedua-dua bank itu telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperkukuh kawalannya dan meningkatkan keberkesanan pengurusan saringan sekatan termasuk memantapkan fungsi pemantauan dan meningkatkan kawalan saringan sekatan yang tepat pada masanya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.
Pada 15 Jun 2026, Standard Chartered Bank dan Standard Chartered Saadiq masing-masing telah membayar RM132,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.
Menurut bank pusat, tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan. - Bernama



