johardy04/11/2026 - 10:55 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) mahu bank-bank Islam memperluas penggunaan pelbagai kontrak Syariah selain tawarruq bagi menyokong pembiayaan aktiviti ekonomi produktif dan pertumbuhan perniagaan.
Bank pusat itu berkata, tawarruq yang menjadi antara struktur utama dalam sistem kewangan Islam Malaysia akan terus digunakan sebagai mekanisme patuh Syariah, khususnya apabila alternatif lain tidak tersedia atau kurang praktikal.
Bagaimanapun, BNM menggalakkan institusi kewangan Islam mempertimbangkan kontrak Syariah yang lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembiayaan, profil risiko serta aliran tunai perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Hala tuju itu digariskan dalam kertas strategi BNM bertajuk Memperluas Penggunaan Kontrak Syariah bagi Ekonomi yang Lebih Produktif dan Inklusif Selaras dengan Objektif Syariah, bertarikh 3 November 2026.
Kertas strategi itu menetapkan perancangan untuk memodenkan rangka kerja kawal selia kontrak Syariah serta menggalakkan inovasi dalam pembangunan produk kewangan Islam.
Menurut BNM, kewangan Islam kini merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pinjaman dan pembiayaan di Malaysia, sekali gus memberikan sektor itu peranan penting dalam menyokong transformasi ekonomi negara.
Pembiayaan untuk pertumbuhan perniagaan
Bank pusat itu menjelaskan, struktur pembiayaan berasaskan perkongsian, pelaburan dan aset mungkin lebih sesuai untuk aktiviti pengembangan perniagaan tertentu, pembiayaan projek serta keperluan modal pertumbuhan.
BNM menegaskan, pihaknya tidak bercadang mewajibkan penggantian produk sedia ada yang berasaskan tawarruq atau menetapkan sasaran khusus bagi penggunaan kontrak Syariah alternatif.
Sebaliknya, peralihan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan pelanggan, daya maju komersial, kesediaan pelaksanaan serta keupayaan pengurusan risiko institusi kewangan.
BNM turut merancang menyemak dokumen dasar berkaitan kontrak Syariah secara berperingkat, memperkemas keperluan kawal selia serta meneroka penggunaan kerangka kotak pasir kawal selia (regulatory sandbox) bagi menguji cadangan produk kewangan baharu.
Bank pusat itu turut merujuk kepada Program i-CITA sedia ada yang membolehkan bank Islam menguji kontrak perkongsian risiko seperti mudarabah dan musyarakah, dengan sokongan dana padanan kerajaan berjumlah RM100 juta.
Program berkenaan membantu mengurangkan risiko awal yang ditanggung bank dan menyokong pembiayaan projek peralihan iklim serta keselamatan makanan yang sesuai menggunakan struktur perkongsian risiko.
Pelaksanaan strategi secara berfasa
BNM berkata, pelaksanaan strategi tersebut akan dibuat secara berfasa, bermula dengan penetapan hala tuju dasar dan pemodenan rangka kerja, diikuti ujian pasaran serta pembangunan produk sebelum penggunaan penyelesaian yang terbukti berdaya maju diperluaskan.
Bank pusat itu akan bekerjasama dengan institusi kewangan Islam, jawatankuasa Syariah dan pemain industri bagi menangani cabaran pelaksanaan, di samping memastikan kestabilan kewangan serta kepentingan pelanggan terus terpelihara. - DagangNews.com





