BNM perkukuh kawal selia keselamatan siber pastikan daya tahan bank - Gabenor

Business & Finance
18 Nov 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: BNM perkukuh kawal selia keselamatan siber pastikan daya tahan bank - Gabenor
Abdul Rasheed. Foto Bernama

BANK Negara Malaysia (BNM) sedang mempertingkatkan langkah penyeliaan dan keperluan kawal selia bagi memastikan institusi kewangan kekal berdaya tahan terhadap ancaman siber yang sentiasa berkembang, termasuk keupayaan mereka mengesan, bertindak balas dan memulihkan keadaan susulan insiden siber.

Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, institusi kewangan juga turut membuat pelaburan besar bagi memperkukuh pertahanan keselamatan siber mereka berikutan serangan siber yang berlaku baru-baru ini.

"Bagi pihak BNM, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan siber. Kami memperkukuh daya tahan institusi kewangan melalui langkah penyeliaan dan penambahbaikan berterusan terhadap Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) kami.

"Kami juga bekerjasama rapat dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan institusi kewangan untuk memperkukuh kesiapsiagaan siber, daya tahan dan kesediaan operasi sektor itu,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga pada Rabu.

Abdul Rasheed turut mengingatkan bahawa memandangkan negara ini semakin beralih ke arah pendigitalan dan saling berhubung, institusi kewangan perlu bersedia menghadapi insiden siber dan juga gangguan perkhidmatan perbankan yang boleh berlaku sebagai sebahagian daripada operasi harian.

Dalam hal ini, beliau menegaskan keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan pengawal selia, institusi kewangan dan pengguna, sambil menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan, cubaan menyamar dan ancaman siber lain.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna supaya menyemak kesahihan maklumat yang diterima melalui media sosial, e-mel dan saluran komunikasi lain dengan merujuk kepada sumber yang dipercayai dan rasmi sebelum berkongsi maklumat itu atau memberi sebarang maklum balas.

Beliau turut mengetengahkan pendekatan '3S' BNM iaitu Soal, Sekat, Sebar sebagai peringatan mudah kepada orang ramai untuk melindungi diri mereka daripada sebarang ancaman siber. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved