RINGGIT dijangka kekal stabil dalam jangka pendek di tengah-tengah perkembangan global semasa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, mata wang tempatan terus disokong oleh asas ekonomi domestik Malaysia yang kukuh, aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI)yang berterusan serta komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur.
Berdasarkan prestasi sejak awal tahun sehingga 16 Nov, ringgit mencatat pergerakan yang agak stabil berbanding dolar AS (-0.8 peratus) dan mata wang rakan dagang utama, seperti yang dicerminkan oleh Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) pada -0.5 peratus, katanya.
"Melangkah ke hadapan, pergerakan kadar pertukaran dijangka terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran.
"Bagaimanapun, BNM akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi secara teratur,” katanya pada sidang media berhubung keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2026 (S3 2026) hari ini.
Mengulas mengenai sumbangan bersih aliran perdagangan dan pelaburan terhadap ringgit, Abdul Rasheed berkata aliran masuk dan aliran keluar merupakan sebahagian daripada kitaran pelaburan biasa.
Beliau berkata, Malaysia turut menggalakkan pelabur domestik yang mempunyai pelaburan di luar negara supaya membuat penghantaran pulang keuntungan dan pendapatan mereka.
Menurut data HSBC, Malaysia mencatat aliran masuk FDI berjumlah kira-kira US$45 bilion (US$1 = RM4.09), berbanding anggaran aliran keluar pelaburan langsung sebanyak US$30 bilion pada 2026.
Perangkaan itu menunjukkan bahawa sumbangan bersih aliran perdagangan dan pelaburan terhadap ringgit adalah lebih kecil daripada yang mungkin digambarkan oleh angka utama pertumbuhan ekonomi.
Abdul Rasheed berkata, BNM turut menggalakkan pelabur Malaysia yang melabur di luar negara membuat penghantaran pulang keuntungan dan pendapatan mereka ke pasaran domestik, sekali gus menyumbang kepada imbangan pembayaran negara.
Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur turut membantu meningkatkan sentimen pelabur, manakala pasaran kewangan terus mencatatkan aliran dua hala yang sihat.
"Jika dilihat pada purata jumlah dagangan harian pasaran pertukaran asing, angka itu meningkat kepada AS$21.1 bilion setakat 17 November berbanding purata kira-kira AS$19.4 bilion sehari pada 2025. Pada 2024, jumlahnya ialah AS$17 bilion, manakala pada 2023, AS$15 bilion.
"Oleh itu, jumlah dagangan semakin meningkat. Ini menunjukkan aliran dua hala yang sihat dalam pasaran itu sendiri. Perkara ini merupakan antara faktor yang menyokong ringgit,” katanya. - Bernama






