hamden29/09/2026 - 17:19 KUALA LUMPUR 29 Sept - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak kelonggaran kepada institusi kewangan untuk mengambil risiko yang lebih tinggi secara bertanggungjawab sebagai antara usaha untuk menyokong peralihan tenaga, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata bank pusat sedang mengkaji semula bagaimana peraturan boleh disesuaikan dengan lebih baik bagi menyokong peralihan tenaga, termasuk memberikan lebih banyak kelonggaran kepada institusi kewangan untuk mengambil risiko yang lebih tinggi dalam lingkungan tahap risiko yang boleh diterima.
“Risiko ini perlu difahami, dinilai dan diuruskan dengan sewajarnya dalam lingkungan tahap risiko yang boleh diterima,” katanya semasa berucap pada Persidangan JC3 Journey to Zero 2026 hari ini.
Abdul Rasheed berkata BNM komited untuk memudah cara perancangan projek tenaga hijau selain mengkaji pelarasan dari segi kawal selia dan penyeliaan bagi menyokong usaha itu.
Beliau berkata walaupun terdapat modal, cabaran utama ialah pengantaraan kewangan terutama penyaluran dana kepada projek hijau yang berdaya maju dan berpotensi untuk dikembangkan.
Menurutnya banyak projek berimpak tinggi terutama pada peringkat awal yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan berikutan dianggap tidak berdaya maju dari segi komersial, walaupun boleh dilaksanakan dari segi teknikal.
Beliau memberikan contoh mengenai inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) berskala kecil yang dilihat sebagai projek kurang berdaya maju apabila dinilai secara berasingan tetapi boleh menjadi berdaya maju apabila dilaksanakan pada skala lebih besar.
Menurutnya keadaan ini sekali gus menekankan keperluan kepada penglibatan awal, penstrukturan yang lebih baik dan mekanisme perkongsian risiko.
Mengenai peralihan tenaga secara lebih meluas, Abdul Rasheed berkata Malaysia sedang mencapai kemajuan, dengan TBB menyumbang sebanyak 31 peratus daripada kapasiti terpasang pada 2025, meningkat daripada 25 peratus pada 2023.
Beliau bagaimanapun berkata permintaan elektrik yang meningkat, didorong oleh kecerdasan buatan dan perkembangan pesat pusat data akan mewujudkan cabaran baharu, dengan pusat data diunjurkan menyumbang hampir satu pertiga daripada penggunaan elektrik menjelang 2035.
“Oleh itu, Malaysia perlu memastikan pertumbuhan ekonomi digitalnya disokong oleh bekalan tenaga yang dipercayai, mampu milik dan bersih,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya pendekatan pembiayaan beralih daripada pemulihan selepas bencana kepada pelaburan proaktif untuk meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim. - BERNAMA





