SD Guthrie, Gamuda dan Gentari meterai perjanjian tenaga boleh baharu untuk pusat data

Business & Finance
29 Sep 2026 • 2:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SD Guthrie, Gamuda dan Gentari meterai perjanjian tenaga boleh baharu untuk pusat data

KUALA LUMPUR: Satu usaha sama antara SD Guthrie Bhd, Gamuda Bhd dan Gentari Renewables Sdn Bhd memeterai lembaran terma bagi kontrak bekalan tenaga boleh baharu selama 21 tahun dengan sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat untuk membekalkan tenaga kepada pusat datanya di Malaysia.

Dalam pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia, SD Guthrie dan Gamuda memaklumkan, G3nerasi Kinta Sdn Bhd (GKinta) telah memeterai lembaran terma bagi cadangan kontrak bekalan tenaga dua hala (BESC) itu pada 28 September di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

Penjanaan tenaga elektrik tersebut akan dihasilkan menerusi pembinaan loji solar fotovoltaik (PV) hibrid berskala utiliti berkapasiti bersih minimum 680 megawatt alternatif (MWac), dengan disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) empat jam bagi meningkatkan kebolehpercayaan serta kecekapan agihan tenaga.

“Cadangan BESC ini dijangka menjana pendapatan kasar keseluruhan melebihi RM10 bilion kepada GKinta sepanjang tempoh 21 tahun bekalan tenaga, bermula dari Tarikh Operasi Komersial (COD) yang disasarkan pada 2029.

“Langkah ini menyediakan keterlihatan pendapatan berulang yang stabil dan berjangka panjang kepada kumpulan, di samping mempercepatkan perluasan strategik SDGRE dalam sektor infrastruktur tenaga boleh baharu berskala utiliti dan penyelesaian penyimpanan tenaga,” katanya.

Menurut SD Guthrie, penyertaan dalam projek itu selari dengan strategi Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta komitmen sifar bersih kumpulan untuk memaksimalkan nilai pegangan tanah strategik di Malaysia bagi menyokong agenda transisi tenaga negara.

Dari segi pembiayaan, projek tersebut dijangka dibiayai menerusi gabungan pembiayaan projek tanpa sandaran dan sumbangan ekuiti daripada rakan konsortium mengikut nisbah pegangan saham masing-masing.

Pementeraian perjanjian muktamad BESC dan dokumen berkaitan di bawah garis panduan Suruhanjaya Tenaga (ST) disasarkan selesai pada suku pertama 2027.

Manakala, sasaran jadual COD pada 2029 tertakluk kepada pementeraian Perjanjian Akses Bekalan Tenaga Boleh Baharu bersama pemilik grid, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta kelulusan kawal selia daripada pihak berkuasa.

“Memandangkan projek ini masih dalam peringkat pembangunan, ia tidak memberi sebarang kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih mahupun perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

“Bagaimanapun, ia dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sebaik sahaja kemudahan itu mula beroperasi secara komersial kelak,” katanya.

Dalam pada itu, selaras dengan amalan tadbir urus korporat yang baik, Ahli Lembaga Pengarah SD Guthrie, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Pengarah Nomini Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemegang saham utama bersama dalam SD Guthrie dan Gamuda Berhad telah berkecuali daripada sebarang perbincangan dan pengundian berkaitan projek berkenaan. – UTUSAN

The post SD Guthrie, Gamuda dan Gentari meterai perjanjian tenaga boleh baharu untuk pusat data appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved