
NEW YORK – Pihak berkuasa aviasi Amerika Syarikat(AS) memberikan kelulusan akhir untuk pesawat Boeing 737 MAX 10 semalam sekali gus mengesahkan versi pesawat lorong tunggal popular itu yang sekian lama tertangguh.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan sijil mengesahkan pesawat terbesar dalam keluarga 737 MAX itu ‘mematuhi semua keperluan reka bentuk dan keselamatan,” kata siaran akhbar Jabatan Pengangkutan.
Langkah itu menyusul pengesahan sama untuk 737 MAX 7 oleh FAA pada Ogos lalu. Ia memberi laluan kepada peningkatan penghantaran pesawat MAX dalam tahun-tahun akan datang, aspek penting dalam pelan Boeing untuk meningkatkan prestasi kewangannya selepas tempoh lemah yang panjang.
“Keputusan ini menyusul selepas semakan menyeluruh dilakukan pada reka bentuk dan keperluan keselamatan pesawat,” kata Pentadbir FAA, Bryan Bedford.
Boeing menjangkakan memulakan penghantaran 737 MAX 10 pada 2027.
MAX 10 melakukan penerbangan sulungnya pada Jun 2021 dan pada masa itu, menyasarkan 2023 untuk penghantaran pertama. Boeing pertama kali memperkenalkan pesawat itu pada Pertunjukan Udara Paris 2017.
Pihak berkuasa AS bagaimanapun meneliti semula reka bentuk Boeing secara terperinci semasa proses pensijilan berikutan dua nahas MAX pada tahun 2018 dan 2019 yang keseluruhannya mengorbankan 346 nyawa.
MAX 10 menampilkan 230 tempat duduk maksimum berbanding 172 untuk MAX 7, manakala MAX 8 dan MAX 9 berada di antara kedua-duanya, demikian menurut laman web Boeing. – AGENSI
The post Boeing 737 MAX-10 dapat pengesahan keselamatan FAA appeared first on Kosmo Online.


