Boleh Buat Sendiri Di Rumah, Ini Resipi "Aloo Paratha" Mudah & Sedap

FoodCooking
8 Apr 2026 • 6:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Boleh Buat Sendiri Di Rumah, Ini Resipi "Aloo Paratha" Mudah & Sedap

Kadang-kadang kita akan rasa teringin nak makan sesuatu yang sedap dan berbeza, tetapi terasa agak leceh untuk keluar membeli atau perlu mengeluarkan duit yang lebih.

Tidak dinafikan, ini memang biasa berlaku lebih-lebih lagi apabila keinginan itu datang secara tiba-tiba.

Namun sebenarnya, terdapat banyak resipi mudah yang dikongsikan di media sosial yang boleh dicuba sendiri di rumah.

Menariknya, kebanyakan bahan yang digunakan juga merupakan bahan asas yang memang sudah tersedia di dapur.

Hari ini, SK ingin kongsikan resipi Aloo Paratha yang anda boleh cuba buat di rumah tanpa perlu beli di kedai.

Untuk makluman pembaca, resipi ini diambil daripada pengguna @moeirajohnson di TikTok.

Bahan-bahan "Aloo Paratha"

Bagi menyediakan hidangan ini, anda memerlukan beberapa bahan seperti satu kilogram kentang, sebiji bawang dan satu hingga dua tangkai parsley yang dicincang halus.

Selain itu, sediakan juga dua sudu teh serbuk cili dan dua sudu teh serbuk kari bagi menambah rasa.

image is not available
Kredit: @moeirajohnson via TikTok

Seterusnya, anda memerlukan garam serta perasa secukupnya mengikut citarasa.

Akhir sekali, gunakan satu paket roti canai segera sebagai asas dan keju mozzarella secukupnya untuk paratha yang lebih berlemak dan menyelerakan.

Cara-cara menyediakan "Aloo Paratha"

Menurut @moeirajohnson, jika di rumah anda mempunyai kentang, anda wajib cuba resipi Aloo Paratha ini kerana cara penyediaannya mudah dan rasanya sangat memuaskan.

Pertama sekali, rebus kentang sehingga lembut. Setelah itu, tambahkan serbuk cili, serbuk kari dan perasa mengikut citarasa, kemudian gaulkan bersama kentang sebelum dilenyek hingga sebati.

Seterusnya, ambil sekeping roti canai segera dan letakkan inti kentang yang telah dilenyek tadi di bahagian tengah, kira-kira dua hingga tiga sudu.

Selepas itu, tambahkan keju mozzarella di atas inti tersebut dan tekan sedikit supaya ia melekat.

image is not available
Kredit: @moeirajohnson via TikTok

Kemudian, bungkus roti dengan kemas sehingga inti tidak kelihatan. Seterusnya, gelekkan roti sehingga leper.

Namun begitu, pastikan anda tidak menekan terlalu kuat bagi mengelakkan inti terkeluar dan kulit roti terkoyak.

Apabila selesai, panaskan kuali dan mula memasak roti satu per satu. Masak satu bahagian terlebih dahulu sehingga garing, kemudian barulah diterbalikkan untuk memastikan kedua-dua bahagian masak sekata.

Akhir sekali, sapukan mentega yang telah dicairkan dan dicampur dengan daun parsley sebagai kemasan bagi menambahkan aroma dan rasa hidangan ini.

Baca juga: