Calon Pakatan Harapan (PH), khususnya daripada PKR, dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menghadiri majlis kenduri atau keraian sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Budaya masyarakat Johor
Memetik laporan daripada Berita Harian, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustapha menyatakan amalan ‘salam kaut’ yang menjadi budaya masyarakat Johor wajar dielakkan buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang salah faham atau provokasi.
“Ia boleh menimbulkan salah anggap. Sungguhpun niat calon itu baik untuk menghargai tuan rumah, budaya berkenaan boleh dijadikan bahan provokasi pihak tertentu untuk memburukkan calon lawan.
“Saya tahu ini boleh menimbulkan polemik. Jadi saya nasihatkan calon supaya lebih berhati-hati. Ini masa orang ramai melihat tingkah laku dan cara kempen kita,” katanya pada sidang media ketika membantu calon PH DUN Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkempen, hari ini.

Menurut beliau, amalan itu sememangnya lazim dilakukan masyarakat Johor sebagai tanda menghargai jemputan ke majlis kenduri.
“Tapi waktu PRN, perlu lebih berhati-hati khususnya kepada calon PH. Tatacara kempen lain dan saya rasa sudah ada peraturan yang jelas. Kita sudah terima pesanan baik dari pimpinan pusat atau negeri mengenai peraturan dan tatacara itu,” katanya.
Tatacara berkempen tak boleh libatkan agensi kerajaan
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan seorang calon PH didakwa memberi ‘salam kaut’ dari rumah ke rumah ketika menghadiri majlis perkahwinan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tatacara berkempen yang tidak boleh melibatkan agensi kerajaan seperti yang dijelaskan di Parlimen sebelum ini turut terpakai sepanjang PRN Johor.

Hasil janaan AI
Ulas strategi kempen parti lain
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tumpuan Barisan Nasional (BN) yang lebih banyak diberikan di kawasan utara Johor menunjukkan parti itu mula gusar dengan sokongan yang dijangka diterima PH pada pilihan raya kali ini.
“Masing-masing ada strategi. Di bahagian utara Johor, walaupun kita tak dapat kerusi DUN yang agak selesa pada (PRN) 2022, tapi ketika PRU (Pilihan Raya Umum 2022), kita menang banyak kerusi di utara.
“Ini termasuk di kawasan saya (Parlimen) Segamat, Labis, Sekijang, semuanya dimenangi PH. Parlimen Ledang dan Muar juga, walaupun Muar bukan PH, iaitu MUDA, tapi juga bukan BN. Saya kira, mungkin mereka (BN) merasakan di utara Johor, sokongan masih rendah.
“Jadi mereka beri tumpuan sebelah sana. Bagi PH, kita tak tumpukan utara saja, tapi seluruh Johor. Kita sudah nampak gelombang rakyat selatan dan seluruh Johor. Apabila dihadiri pemimpin kita, ada sokongan rakyat dan kalau turun ke kawasan, sokongan itu agak konsisten,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Mohd Nasaruddin Parzi)






