
Sudah menjadi kewajipan buat setiap isteri untuk sentiasa taat kepada suaminya malah perkara ini turut ditekankan di dalam Islam.
Oleh itu, dalam setiap apa jua yang ingin dilakukan seorang isteri perlulah mendapat kebenaran dan keizinan seorang suami sebagai contoh ingin keluar rumah dan sebagainya.
Apa hukum isteri pergi haji tanpa izin suami?
Namun baru-baru ini, seorang individu yang mengikuti ceramah Ustaz Azhar Idrus (UAI) telah bertanyakan satu soalan berkaitan hukum seorang isteri menunaikan haji atau umrah tanpa izin suaminya.
Menjawab kepada soalan itu, Ustaz Azhar kemudian menjelaskan suami boleh melarang sekiranya haji yang ingin dilakukan itu adalah sunat dan bukan haji yang wajib (kali pertama).
Isteri wajib minta izin untuk sesuatu yang tak wajib
Menurut beliau lagi, isteri wajib meminta izin kepada suami terhadap sesuatu perkara yang tidak wajib.
“Kalau benda yang wajib, (isteri) tak wajib untuk minta izin. Sebagai contoh, tutup aurat wajib atau sunat? Wajib ke minta izin suami nak tutup aurat? Tak wajib.
“Sembahyang lima waktu, wajib ke minta izin suami? ‘Tak’. Puasa di bulan Ramadan wajib ke sunat? Kena minta izin tak? ‘Tak’.
“Puasa sunat kena minta izin tak? Kena minta izin,” ujarnya.
Ini kerana, ibadah sunat seperti puasa sunat boleh ditinggalkan. Menurutnya lagi dalam isu ini sekiranya seseorang mempunyai kemampuan serta keamanan perjalanan (menunaikan haji) tidak boleh seorang suami menghalangnya.
Pemergian haji kali kedua sudah dianggap sunat dan bukan wajib
“Ada mahram, ada muslimat yang menemani (isteri). Okay, jangan halang dia.
“Namun sekiranya dia (isteri) sudah menunaikan haji, maka pemergian untuk kali ini (kedua dan seterusnya) adalah sunat dan dia wajib meminta izin suami,” jelasnya lagi.
#dakwah_islam #dakwahsunnah #dakwahtiktok #ilmubermanfaat
Melihat di ruangan komen, ramai menyifatkan penjelasan diberikan UAI padat dan mudah difahami.
“Allah SWT, seronoknya ada ilmu”

“Terima kasih tolong tanya. Baru faham”





