
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Umum sedia maklum, setiap umat Islam wajib mentaati Allah Yang Maha Besar dan memuliakan darjat-Nya. Bukan sahaja kepada Tuhan tetapi juga para Nabi dan juga al-Quran.
Malah sejak kecil lagi, kita dididik untuk mengambil wuduk dulu sebelum menyentuh kitab suci tersebut dan meletakkannya di tempat yang bersih, suci dan tinggi.
Sekarang ini pula, semakin banyak perhiasan rumah atau barangan dijual di pasaran yang disertakan sekali bersama kalimah al-Quran, nama-nama Allah SWT atau pun para sahabat Nabi sebagai contoh pelekat (sticker).
Tetapi apakah sebenarnya panduan yang betul bagi melekatkan sticker berkenaan?

UAI Kongsi Adab Lekat Sticker Yang Berserta Kalimah Al-Quran
Sebelum ini, pendakwah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus menerusi satu sesi soal jawab dalam tazkirah beliau ada mengulas tentang perkara ini.
Soalan: “Kita (boleh ke) nak tampal sticker kalimah Allah, ayat suci al-Quran pada akuarium ikan?”
Menurut UAI, sticker kalimah Allah, Nabi atau ayat suci al-Quran tidak boleh diletakkan di tempat sembarangan sehingga boleh memperendahkan ayat tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya anda meletakkan ayat ‘Bismillah’ di bahagian dinding yang tinggi maka ia dibenarkan.
“Kalau kita letak di bawah, sama aras dengan kaki orang lalu lalang, itu dilarang oleh agama kerana letak pada (bahagian) bawah begitu seolah-olah memperendah dan tidak memuliakan ayat itu.
“Jadi kalau nak letak di kereta pada nombor plat belakang, tak boleh sebab orang boleh letak kaki dan sebagainya. Letak pada cermin tinggi (kereta) di belakang, boleh sebab kaki orang tak sampai,” kongsi pendakwah tersebut.
Jangan Letak Sticker Kalimah Al-Quran Pada Bahagian Bawah Akuarium Ikan
Berbalik kepada soalan sebelum ini, UAI berkata jika sticker pada akuarium diletakkan pada tempat yang tinggi, maka tindakan tersebut dibolehkan.
“Jadi kalau nak letak dekat akuarium ikan, letak pada bahagian bawah satu aras dengan tahi ikan apa semua tidak boleh.
“Sebab nampak macam tak hormati ayat al-Quran. Tapi kalau dia letak tempat tinggi, comel je belakang (akuarium) nampak kalimah al-Quran, lepas tu ikan berenang dekat depan, tak ada masalah,” ulas beliau.
Garis Panduan Aktiviti Berkaitan Al-Quran Oleh Pihak JAKIM
Di samping itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini telah mengeluarkan garis panduan ke atas aktiviti berkaitan dengan pembuatan bahan-bahan yang mempunyai ayat al-Quran.
Antaranya adalah ayat dicetak hendaklah diambil daripada al-Quran mashaf Rasm Uthmani dan mengikut kaedah seni khat yang betul.
Selain itu, bahan mengandungi ayat al-Quran tidak terdedah kepada kemungkinan dilangkah atau dipijak seperti diletakkan di atas lantai.

Boleh Jatuh Kafir Jika Permainkan Ayat Suci Al-Quran
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama telah bersepakat bahawa perbuatan meremehkan dan mempermainkan kesucian al-Quran boleh menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam dan menjadi kafir.
“وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ”
Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?“
[Surah al-Taubah (65)] 
Antara jenis penghinaan terhadap al-Quran adalah:
- Meremehkan kandungan al-Quran atau mana-mana bahagian daripadanya
- Meremehkan mushaf dengan meletakkan ia pada tempat yang kotor
- Mendustakan hukum-hakam dan perkhabaran
- Menafikan perkara yang disabitkan
- Mensabitkan perkara yang ternafi atau meragui mana-mana kandungan daripada al-Quran
Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Guna Ayat Al-Quran Pada Poster Filem
Baca Artikel Berkaitan: Letak Kalimah Allah Pada Kain Hitam Baluti Tubuh Perempuan, FINAS Arah Tukar Poster Filem Sijjin
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Kongsi Tempat Lupuska
Source:


