
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Antara perkara yang sinonim dengan perayaan Deepavali adalah Kolam atau juga dikenali sebagai Rangoli.
Pada ketika ini dapat dilihat ada segelintir individu tanpa mengira latar belakang turut sama-sama menghasilkan seni hiasan Rangoli sebagai perhiasan sempena menyambut pesta cahaya itu.
Namun buat mereka yang beragama Islam, adakah perbuatan melukis Kolam atau Rangoli dibenarkan?
Kolam Asalnya Adalah Sebahagian Upacara Keagamaan
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Kolam atau Rangoli pada asalnya merupakan sebahagian upacara keagamaan di dalam perayaan Deepavali.
Malah, penganut agama ini juga percaya Dewi Lakshmi dipercayai akan hadir semasa perayaan Diwali dan akan melawat rumah yang telah dibersihkan serta dihiasi dengan hiasan indah.
Pelbagai jenis Rangoli akan dilukis sempena meraikan perayaan tersebut antaranya seperti:
- Tapak kaki Dewi Lakshmi
- Lapan lumba-lumba teratai yang dikenali sebagai Ashtadal-kamal di Andhra Pradesh
- Rangoli bintang lapan tajam yang dikenali sebagai Hridaya-kalam di Tamil Nadu
- Pelbagai lagi rekaan lain dihasilkan di Gujarat.
“Bahkan Diwali dianggap tidak memadai tanpa Rangoli. Ia adalah isyarat sambutan kepada Dewi dan para pelawat. Upacara menyambut para tetamu diketahui membawa kebahagiaan dan kebahagiaan kepada keluarga.
“Dalam tradisi Hindu, lukisan Kolam terdiri daripada pelbagai bentuk rekaan apotropik yang besar yang mewakili pelbagai dewa Hindu dan tanda-tanda yang membawa tuah,” jelas mereka.
Malah jelas laman berkenaan, ia juga melambangkan kebahagiaan serta nasib baik dalam Dharma Hindu.
Kolam Di Malaysia Dilukis Untuk Meriahkan lagi Sambutan Deepavali, Dianggap Sebagai Tiang Seri
Namun berbeza di Malaysia, laman itu menjelaskan hiasan Kolam di negara ini dihasilkan sebagai penyeri sehingga ia juga dianggap sebagai ‘tiang seri’ untuk memeriahkan sambutan pesta cahaya itu.
“Bagi masyarakat India, selain persiapan seperti menyediakan pakaian baru, hidangan tradisional, manisan serta kuih muih, sambutan Deepavali kurang serinya kalau kediaman tidak dihiasi dengan Kolam.
“Ia dihasilkan dengan pelbagai rekaan, berwarna-warni dan tanpa ada had dari segi saiz. Ketua Persatuan Malaysia Hindu Sangam Negeri Selangor, Puraneswary Makeswaran, berkata, biarpun lazimnya saiz kolam di rumah agak kecil namun Kolam memberi kuasa besar dalam menyambut Deepavali.
“Malah Kolam juga umpama ‘tiang seri’ yang bertindak memeriahkan lagi perayaan cahaya itu,” katanya.
Tambah laman itu lagi, Kolam juga menjadi simbol penyatuan sebuah keluarga.
Manakan tidak, penghasilannya memerlukan ramai orang yang lazimnya terdiri daripada ahli keluarga terdekat.
Hukum Umat Islam Sertai Lukis Kolam Atau Rangoli Bergantung Kepada Situasi
Namun jelas laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum umat Islam menyertai atau melukis Kolam adalah bergantung kepada beberapa keadaan.
Ini kerana hukumnya boleh menjadi haram, makruh dan dibolehkan (harus) mengikut situasi tertentu apatah lagi pembuatan Kolam di Malaysia kebanyakannya telah jauh dari maksud asal lukisan terbabit.
“Bahkan praktisnya di Malaysia kebanyakannya sudah menjauhi maksud falsafah asal lukisan Kolam atau Rangoli.
“Ianya kini lebih kepada hiasan dan bertujuaan keceriaan di pusat beli belah, agensi swasta, kerajaan dan lain-lain,” jelas mereka.
Tambah laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum Muslim menyertai atau melukis Kolam adalah:
- Haram sekiranya corak Kolam atau Rangoli yang dihasilkan merujuk kepada dewa dewi, mantra atau berobjektifkan pemujaan dalam agama Hindu.
- Makruh jika ia umat Islam terlibat atau menyertai aktiviti melukis Kolam sempena musim perayaan seperti Deepavali. Ini kerana ia dikhuatiri mempunyai unsur mengangkat syiar agama lain secara tidak langsung atau menyerupai sebahagian perbuatan ritual agama.
- Dibolehkan (harus) sekiranya pembuatan atau melukis Kolam dilakukan selain hari-hari kebesaran agama Hindu dengan motif yang tidak berunsurkan keagamaan seperti bunga, lakaran kartun atau tumbuh-tumbuhan. Jelas laman itu lagi, ia boleh diibaratkan seperti melukis Kolam dengan motif patriotik sempena Hari Kebangsaan dan seumpamanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ada Beza Ke Hiasan Seni Kolam Di Mall & Kuil? Ini Penjelasan Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: Kolam Berputar Pertama Di Malaysia Serikan MYDIN S2 Sempena Kempen “A Brighter Deepavali”, Bombay Bazaar Pun Ada



