![Image from: Boleh Ke Sewa Rumah Lepas Tu Sewakan Pula Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan UAI [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/boleh-ke-sewakan-rumah-sewa-kepada-orang-lain.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada masa kini, ramai yang memilih untuk menyewa berbanding membeli sebuah kediaman.
Bagi mereka yang merantau pula, menyewa rumah sememangnya sering menjadi pilihan utama.
Namun ada segelintir penyewa yang dilihat mengambil kesempatan dengan menyewakan semula rumah yang disewa kepada orang lain.
Pernah tak anda terfikir adakah tindakan sebegini dibolehkan dalam Islam sedangkan rumah itu adalah kepunyaan tuan rumah?
Boleh Sewakan Kepada Orang Lain Bergantung Kepada Keadaan
Menurut pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu video di YouTube, dia menjelaskan seseorang itu boleh untuk menyewakan kediaman sewa kepada orang lain.
“Kita sewa rumah dengan tuan rumah, boleh ke kita bagi sewa dekat orang pula? Contoh kita sewa dengan tuan rumah RM500, kita bagi sewa dengan orang Kuala Lumpur, RM1,000, boleh atau tidak?
“Jawabnya tidak mengapa, boleh,” katanya.
Tak Boleh Sewakan Jika Tuan Rumah Nyatakan Larangan
Namun jelasnya, perbuatan ini dilarang sekiranya pemilik rumah sewa telah menyatakan larangan dan tidak membenarkan perbuatan itu.
“Bila tak boleh? Jika tuan rumah kata, ‘saya beri sewa rumah ini kepada awak RM500 dengan syarat, awak tak beri sewa dekat orang,” jelasnya.
Jika pemilik kediaman tidak menyatakan larangan sedemikian maka penyewa boleh menyewakan rumah kepada orang lain.
Perkara yang sama turut dijelaskan oleh laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan namun topik tersebut menjurus kepada konsep sewa membaitkan tempat perniagaan.
Jelas mereka, adalah perbuatan sewa atas sewa dibolehkan berdasarkan pendapat jumhur para fuqaha.
جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ (الْحَنَفِيَّةِ وَالْمَالِكِيَّةِ وَالشَّافِعِيَّةِ وَالأصَحُّ عِنْدَ الْحَنَابِلَةِ) عَلَى جَوَازِ إِيجَارِ الْمُسْتَأْجِرِ إِلَى غَيْرِ الْمُؤَجِّرِ الشَّيْءَ الَّذِي اسْتَأْجَرَهُ وَقَبَضَهُ فِي مُدَّةِ الْعَقْدِ
“Maksudnya: Jumhur fuqaha’ (Hanafi, Maliki, Syafii dan pendapat Asoh Hanbali) harus orang yang menyewa (sesuatu barang) menyewakan semula (barang itu) ke atas penyewa yang lain selagimana barang sewaan itu masih di dalam kontrak perjanjian. (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiah: 1/267),” tulis laman itu.
Namun, mereka turut berpendapat agar penyewa mengikut syarat perjanjian sekiranya pemberi sewa tidak membenarkan harta atau barang disewakan kepada orang lain.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ صُلْحًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا
“Maksudnya: ‘Diharuskan perjanjian di antara orang-orang Islam melainkan perjanjian mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram’ (Hadis riwayat Imam Tirmizi: 1352).” jelas mereka.
Siapa Yang Patut Tanggung Bayaran Jika Berlaku Kerosakan Pada Rumah Sewa?
Menerusi video itu juga, UAI turut menerangkan secara terperinci siapa yang bertanggungjawab menanggung kos sekiranya berlaku kerosakan di rumah sewa.
Ini kerana ada pemilik rumah merasakan penyewa bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan begitu juga sebaliknya.
Benda Besar Tanggungjawab Tuan Rumah, Barang Kecil Yang Diguna Selalu Tanggungjawab Penyewa
Jelas UAI, penyewa hanya bertanggungjawab kepada barang yang sering dipegang dalam kehidupan seharian.
“Apa yang kecil-kecil, yang selalu dipegang oleh penyewa, penyewa kena bayar. Apa yang besar-besar, yang tidak dipegang oleh orang yang menyewa, tuan rumah kena bayar,” jelasnya.
Malah, UAI turut menjelaskan contoh situasi bagi menerangkan keadaan itu.
“Benda-benda besar, lantai pecah, mozek tercabut, tuan rumah kena bayar. Benda hari-hari, yang kecil-kecil dipegang oleh tukang sewa (penyewa), dia kena bayar.
“Bila penyewa pindah, tuan rumah cat baru, kena RM1,800, dia minta wang pada penyewa. Dalam hukum, tuan rumah kena bayar.
“Paip pecah, panggil tukang paip, ganti paip semua, habis RM2,500. Tuan rumah kata penyewa kena bayar padahal tuan rumah yang kena bayar.
“Yang tukang sewa (penyewa) kena bayar adalah paip yang tukang sewa pegang. Dia pulas selalu dekat sinki, dia pulas dalam bilik air, tercabut, dia kena bayar,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Takut Dapat Penyewa Dari Neraka? Ini 5 Tips Buat Tuan Rumah Dalam Memilih Penyewa
Baca Artikel Berkaitan: “Deposit Pun Tak Boleh Cover” – Pemilik Kesal Rumah Sewa Kotor & Rosak Gara-Gara Sikap Penyewa [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Penyewa Dari Neraka” – Sangat Pengotor & Selalu Kencing Di Sinki, Lelaki Nekad Halau Housemate [Video]





