
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Solat Tahajud merupakan antara solat sunat yang diketahui banyak kelebihannya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika kebanyakan Muslim sanggup bangun dari tidur pada dua per tiga malam demi menunaikan ibadah itu.
Namun, adakah solat Tahajud boleh didirikan tanpa perlu tidur terlebih dahulu?
Syarat Solat Tahajud Mesti Tidur Dulu – Dr Zulkifli
Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam laman zulkiflialbakri, Tahajud ditakrifkan sebagai solat sunat selepas tidur.
“Solat Tahajud ditakrifkan sebagai solat sunat selepas tidur di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i. Ia ditakrifkan di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami sebagai:
هُوَ التَّنَفُّلُ لَيْلًا بَعْدَ نَوْمٍ
“Maksudnya: ‘Bersolat sunat pada malam hari selepas bangkit daripada tidur,’” jelasnya.
Terang Dr Zulkifli yang juga merupakan bekas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antara syarat untuk menunaikan ibadah sunat itu adalah tidur terlebih dahulu.
Jelas beliau, syarat ini merupakan pendapat muktamad oleh mazhab al-Syafi’i.
Namun jelas Dr Zulkifli, terdapat pelbagai pendapat mengenai waktu tidur seseorang yang mahu melaksanakan solat Tahajud.
“Waktu tidur itu, disyaratkan mestilah pada waktu kebiasaan orang ramai sudah tidur, di sisi Imam al-Ramli al-Kabir.
“Manakala di sisi Imam al-Ramli al-Saghir dan Imam Ibn Hajar, asalkan tidur selepas masuk waktu Isyak walaupun lebih awal berbanding waktu kebiasaan orang ramai tidur,” jelasnya.
Waktu Menunaikan Solat Tahajud
Jelas Dr Zulkifli dalam laman itu lagi, terdapat tiga cara menunaikan solat Tahajud mengikut pandangan ulama.
Imam ‘Ali al-Syibramalisi menyatakan: ‘Syarat Tahajud itu sepertimana yang difatwakan oleh guru-guru kami iaitu Imam al-Ramli dan Imam Ibn Qasim ada dua seperti yang kami jelaskan seperti berikut:
- Mestilah dilakukan selepas masuk waktu Isyak,
- Mestilah dilakukan selepas menunaikan solat Isyak,
- Mestilah dilakukan selepas bangun dari tidur selepas masuk waktu Isyak.
Individu Yang Tak Tidur Tetapi Solat Sunat Malam Dapat Pahala Qiyamullail
Tambah beliau lagi, seseorang yang tidak tidur namun tetap menunaikan solat sunat pada waktu malam hanya akan mendapat pahala Qiyamullail iaitu menghidupkan malam.
Perkara sama turut dijelaskan oleh pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu video di YouTube.
“Orang yang solat malam dia ada dua. Kalau dia tidur dulu, bangun dan sembahyang, namanya Tahajud. Kalau dia tak tidur namanya Qiyamullail, solat malam. Kalau kamu boleh tidur, tidur dahulu,” katanya.
Pun begitu, setiap ibadah yang dilakukan oleh seseorang tetap akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
“Tahajud ke, Qiyamullail ke semuanya mewah. Allah SWT akan bayar (ganjaran), tengok kamu sempat yang mana. Kamu sempat Tahajud, (buat) Tahajud, sempat Qiyamullail, (buat) Qiyamullail. Semuanya dapat syurga Allah SWT,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Tips Mudah Buat Mereka Yang Susah Bangun Solat Tahajud, Boleh Cuba!
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Lima Tips Buang Rasa Malas Setiap Kali Nak Tunaikan Solat [Video]

