
KENINGAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa bersiap siaga menerima panggilan kecemasan semasa sambutan Hari Raya Aidilfiri.
Pengarah JBPM Sabah, Zainal Madasin berkata, setiap tahun musim perayaan anggota bomba bersedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.
Katanya, pada musim Hari Raya Aidilfitri ini ramai masyarakat balik kampung dan jika kejadian yang tidak diduga berlaku seperti kemalangan, kebakaran, lemas semasa mandi-manda anggota bomba sentiasa bersiap siaga.
“Ini kesiapsiagaan kita, malah semasa musim perayaan dan cuti, mereka (anggota) bersedia, mereka ‘on call’ untuk ke tempat kejadian,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada anak yatim, warga emas, fakir miskin dan orang kurang upaya pada majlis berbuka puasa JPBM Sabah Zon Keningau, di sini, pada Khamis.
Pada musim perayaan, katanya, anggota membuat rondaan dari satu tempat ke satu tempat selain menunggu panggilan kecemasan.
Zainal turut mengingatkan masyarakat setempat, khususnya yang meninggalkan rumah pada musim perayaan ini, agar memastikan semua sambungan peralatan elektrik dalam rumah dan sumber elektrik ditutup untuk mencegah kebakaran.
“Begitu juga, pandu hati-hati dan jangan melebihi had laju. Berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling dan rakan pengguna jalan,” katanya.
Tambahnya, bagi mereka yang bercuti bersama keluarga di tempat perkemahan, pastikan kawasannya selamat dan tidak menghadapi risiko tanah runtuh atau kepala air.
“ Ini penting kerana pada musim cuaca tidak menentu, tempat tertentu di negeri ini terdedah kepada kejadian tanah runtuh, terutama di lereng bukit,” katanya.
Terdahulu, Zainal menghadiri Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Anggota JPBM Sabah Zon Keningau.
Hadir sama, Zon JBPM Sabah Zon Keningau Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan.


