
KUALA SELANGOR: Banjir sedalam sekurang-kurangnya 0.3 meter melanda di kawasan perumahan Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini, hari ini susulan limpahan air kolam takungan berhampirannya akibat hujan lebat bermula kira-kira pukul 4 tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd. Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.51 petang tadi.
Katanya sepasukan lima termasuk pegawai dan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke lokasi.
“Komander operasi melaporkan berlaku banjir di kawasan perumahan akibat daripada hujan lebat dan limpahan air takungan yang berhampiran kediaman penduduk.
“Anggaran kedalaman sedalam satu kaki (0.3 meter) dan tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, air dari kolam takungan di sana dilaporkan melimpah sehingga membanjiri kawasan perumahannya susulan hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.
Malah, limpahan tersebut didakwa sudah pun memasuki rumah-rumah yang terletak di Jalan Seri Alam 1, sehingga memaksa penduduk mengalihkan menyelamatkan barangan berharga dan memindahkan kenderaan ke tempat selamat.
Menerusi perkongsian video oleh Zamron Mat dalam Facebooknya, kolam tadahan tersebut penuh sehingga melimpah dan menyebabkan banjir serta menyifatkannya lebih teruk berbanding sebelum ini.
“Kolam tadahan di Taman Seri Alam dah overflow, ia lebih teruk berbanding sebelum ini. Ada rumah yang dah naik (air). Memang melimpah lebih teruk berbanding sebelum ini dan ia menghala ke Jalan 3, 4 dan 14.
“Saya harap kepada semua tolong alihkan dahulu kenderaan dan pastikan keselamatan. Taman Seri Alam yang pernah banjir sebelum ini,” katanya dalam rakamannya di sini, hari ini.
Kolam takungan di kawasan perumahan itu pernah dilaporkan pecah sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2015 akibat hujan lebat dan paras air di kolam tersebut melebihi daripada biasa.
Kejadian terbabit menyebabkan banjir di kawasan perumahan berkenaan terutama yang terletak berhampiran kolam itu di Jalan Seri Alam 1.
Kali pertama kejadian itu dilaporkan pada 2015 dan kemudian berulang pada Disember 2024 dan April tahun lalu.
Selain itu, turut ditenggelami air adalah jalan utama memasuki kawasan perumahan Iris di Hillpark, berhampiran Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Malah beliau turut mengesahkan kejadian banjir kilat berhampiran sebuah tadika di dalam Kampus UiTM Puncak Alam, namun ia surut sepenuhnya dan tiada mangsa terjejas apabila pasukan bomba tiba untuk memantau dan bantuan keselamatan.
Dalam pada itu, Ashrul Riezal turut melaporkan kejadian banjir berlaku di Jalan Johan Setia, di Kampung Johan Setia, Klang akibat limpahan air sungai yang memasuki rumah penduduk juga pada ketinggian sehingga 0.3 meter. – UTUSAN
The post Bomba pantau banjir di Taman Seri Alam, Puncak Alam appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Kereta rendah jangan berani lalu Bukit Cerakah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/bukit-cerakah-1024x766.jpeg)