Polis rampas dadah, temui dua bom tangan asap disorok dalam kabinet

31 Jul 2026 • 6:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis rampas dadah, temui dua bom tangan asap disorok dalam kabinet
Polis menemui dua butir bom tangan asap yang disembunyikan dalam kabinet dapur sebuah rumah di Taman Gemilang Indah.

BUKIT MERTAJAM – Serbuan polis bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah di Taman Gemilang Indah di sini membawa kepada penemuan mengejut apabila dua butir bom tangan asap ditemui disembunyikan di dalam kabinet dapur rumah berkenaan.

Dalam operasi kira-kira jam 6.40 petang pada Khamis, polis turut merampas dadah disyaki heroin, methamphetamine dan ganja serta menahan tiga individu tempatan, termasuk seorang wanita, berusia antara 46 hingga 47 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hasil risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia 47 tahun ditahan dalam serbuan pertama di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah disyaki jenis heroin, methamphetamine dan ganja selain beberapa peralatan dipercayai digunakan bagi aktiviti pembungkusan serta pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kabinet dapur rumah itu turut membawa kepada penemuan sebuah kotak besi yang mengandungi dua butir bom tangan asap,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat lanjut, polis kemudian menjalankan serbuan susulan dan berjaya menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 46 tahun.

Menurutnya, semakan mendapati suspek lelaki yang ditahan dalam serbuan pertama mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki pertama positif ganja manakala dua lagi suspek negatif dadah.

"Kita turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita tiga kereta, lima motosikal, tiga cincin emas serta wang tunai RM5,700.

“Keseluruhan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM303,400,” katanya.

Nik Aminuddin menambah, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Julai hingga 6 Ogos bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah atau jenayah lain diminta menyalurkannya kepada polis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved