
PETALING JAYA: Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin terus mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet terbaik negara apabila mempertahankan pingat emas acara 72 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Bonnie mengulangi pencapaian pada edisi Hangzhou 2022, sekali gus menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Malaysia dalam temasya kali ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu mencatat angkatan terbaik 225kg pada percubaan kedua untuk mengatasi pencabar dari China, Zhang Pingkong yang meraih perak menerusi angkatan 212kg, manakala Mohsen Bakhtiar dari Iran membawa pulang gangsa dengan 208kg.
Ketika Bonnie meneruskan dominasi di pentas Asia, skuad berbasikal para negara turut mencuri tumpuan apabila menambah dua pingat perak dan dua gangsa, menjadikan jumlah kutipan acara itu lima pingat selepas kejayaan emas terdahulu.
Dalam acara ujian masa 1,000 meter (m) tandem lelaki, gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab bersama jurupandu Muhammad Nabil Wafiq Zamri meraih perak selepas mencatat masa 1 minit 3.688 saat (s) di Velodrom Izu.
Pingat emas acara itu menjadi milik pasangan Jepun, Kazuhei Kimura bersama jurupandu Kiaki Miura yang merekodkan 1:02.801s, manakala Mohammad Dalir dan jurupandu Reza Rashno dari Iran meraih gangsa dengan masa 1:03.835s.
Satu lagi perak disumbangkan Mohamad Yusof Hafizi Shahahruddin dalam acara ujian masa 1,000m lelaki C1-3 selepas mencatat masa sebenar 1:12.990s, dengan Liang Weicong dari China muncul juara menerusi masa terlaras 1:06.156s.
Yusof turut meraih gangsa dalam acara kejar-mengejar individu 3,000m lelaki C1-2, manakala Nur Suraiya Muhamad Zamri bersama jurupandu Farina Shawati Mohd Adnan menyumbang satu lagi gangsa menerusi ujian masa 1,000m tandem wanita.
Secara keseluruhan, berbasikal para kini mengumpul satu emas, dua perak dan dua gangsa, dengan pencapaian itu memperlihatkan sumbangan penting sukan berkenaan dalam usaha Malaysia menambah kutipan pingat di temasya berkenaan.
Setakat jam 5 petang, Malaysia berada di tangga ke-10 carta keseluruhan dengan dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa, menjadikan jumlah kutipan lapan pingat dalam Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026. – UTUSAN
The post Bonnie pertahan emas, basikal menyengat appeared first on Utusan Malaysia.




