Shahmalarani, Adeola pandu pulang e.MAS 5

21 Oct 2026 • 6:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Shahmalarani, Adeola pandu pulang e.MAS 5

SUBANG JAYA – Dua ratu karate negara, C. Shahmalarani dan Adeola Fay Robert menerima ganjaran kereta elektrik Proton e.MAS 5 selepas Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menunaikan janji susulan kejayaan mereka meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bulan lalu.

Penyerahan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM60,000 setiap satu itu berlangsung pada Majlis Penghargaan Atlet Karate Malaysia di Dorsett Grand Subang Jaya hari ini sebagai penghargaan terhadap pencapaian membanggakan kedua-dua atlet berkenaan.

Presiden MAKAF, Datuk Wira Dr. Nur Azmi Ahmad berkata, majlis tersebut bukan sekadar meraikan kejayaan pemenang pingat emas, sebaliknya turut menghargai sumbangan keseluruhan atlet karate negara yang menggalas cabaran di temasya berkenaan.

“Hari ini sebenarnya kita meraikan kejayaan atlet karate, bukan sahaja untuk emas tetapi juga atlet yang menerima pingat dan membantu negara.

“Kita sebenarnya berpeluang memperoleh lebih banyak pingat, tetapi itulah yang terbaik yang mereka dapat lakukan. Saya percaya daripada kira-kira sembilan atlet yang kita hantar kali ini, hanya seorang tidak berjaya mendapatkan pingat,” katanya.

Sementara itu, Adeola yang mencipta sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia pada temasya berkenaan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila menerima ganjaran yang dijanjikan selepas kejayaan dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg).

“Saya sangat-sangat gembira dan bersyukur. Terima kasih kepada pihak MAKAF, Datuk Azmi dan semua yang terlibat,” kata Adeola kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Image from: Shahmalarani, Adeola pandu pulang e.MAS 5
Shahmalarani (kiri) dan Adeola bersama kereta elektrik Proton e.MAS 5 yang diterima sebagai ganjaran atas kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pada aksi final di Gimnasium Toyohashi bulan lalu, atlet berusia 20 tahun itu menewaskan wakil Iran, Fatemahzahra Saeidabadi, 6-4 untuk menghadiahkan emas sulung negara selepas mengharungi laluan sukar ke pentas akhir.

Bagi Shahmalarani, majlis itu menjadi lebih bermakna apabila MAKAF membuat kejutan dengan membawa ibunya hadir, selain ibu bapa Adeola yang turut diterbangkan dari Sabah bagi meraikan kejayaan anak mereka.

“Bukan kereta ini yang menjadi kejutan kerana kami memang sudah tahu mengenainya. Tetapi kejutan daripada keluarga itu sesuatu yang saya tidak jangka.

“Saya tanya mak, dia cakap ada acara yang perlu dihadiri. Saya sangat bersyukur kerana keluarga dapat bersama-sama meraikan kejayaan kami, sedangkan mereka juga banyak membantu di belakang tabir. Saya masih cuba menghayati momen ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, rekod, Shahmalarani menyumbang emas ketiga Malaysia menerusi acara kumite wanita bawah 50kg selepas menewaskan atlet Hong Kong, Tsang Yee Ting, menerusi keputusan hantei apabila pertarungan final berakhir 0-0, sekali gus melengkapkan kejayaan kem karate negara pada temasya berkenaan. KOSMO! ONLINE

The post Shahmalarani, Adeola pandu pulang e.MAS 5 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved