Bonus hingga 13 bulan gaji ketika TH bermasalah, RCI syor pemulangan

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 8:44 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Bonus hingga 13 bulan gaji ketika TH bermasalah, RCI syor pemulangan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan pembayaran bonus kepada kakitangan dipulangkan semula selepas mendapati ia berlebihan dan dibuat ketika institusi bergelut dengan masalah kewangan.

Laporan RCI mendapati TH membayar bonus yang tinggi kepada kakitangan eksekutif dan bukan eksekutif antara 2010 hingga 2017, dengan kadar bayaran antara dua hingga 13 bulan gaji, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.

Suruhanjaya berkata pembayaran bonus itu menjadi isu dari sudut tadbir urus kerana ia dibuat ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan, dengan jumlah liabiliti melebihi nilai aset.

"Semakan Suruhanjaya mendapati kadar bonus yang diberikan kepada kakitangan LTH adalah amat tinggi pada tahun 2010 hingga 2017. Kadar bonus yang diberikan adalah antara dua hingga 13 bulan termasuk bonus tahunan dan bonus khas," menurut laporan itu.

Menurut laporan berkenaan, pihak pengurusan TH memberikan justifikasi terhadap pembayaran tersebut berdasarkan keuntungan dan pulangan yang dicatatkan institusi itu pada tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, RCI mendapati kedudukan kewangan TH ketika itu tidak menyokong jumlah bonus yang diluluskan.

Suruhanjaya mendapati antara 2014 hingga 2017, aset TH adalah lebih rendah berbanding liabilitinya berdasarkan penyata kewangan teraudit serta penemuan Jabatan Audit Negara.

"Suruhanjaya mendapati bahawa pemberian bonus yang tinggi oleh LTH adalah tidak munasabah," kata laporan itu.

RCI turut menyorot bahawa pada 2014, TH meluluskan pembayaran bonus sehingga 13 bulan gaji, membabitkan 11 bulan bonus tahunan dan dua bulan bonus khas.

Pembayaran tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM74 juta dan diluluskan melalui proses tadbir urus TH yang melibatkan lembaga pengarah, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam serta Kementerian Kewangan.

Laporan itu berkata kelulusan bonus tinggi berkenaan menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan sewajarnya diberikan terhadap kedudukan kewangan sebenar TH pada ketika itu.

RCI turut meneliti pembayaran bonus melibatkan anak syarikat TH, termasuk TH Properties Sdn Bhd dan THP Australia Capital Sdn Bhd.

Suruhanjaya mendapati bonus khas berjumlah RM1.148 juta dibayar kepada penerima terpilih di TH Properties pada 2017, manakala RM1.045 juta lagi dibayar pada 2018.

Penerima bayaran tersebut terdiri daripada pengarah, bekas pengarah serta kakitangan syarikat berkenaan.

RCI berkata bonus itu diluluskan berdasarkan prestasi syarikat termasuk keuntungan daripada projek hartanah, namun mengesyorkan supaya bayaran yang didapati tidak wajar dan dipulangkan semula.

Dapatan itu merupakan sebahagian daripada siasatan lebih menyeluruh RCI terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan institusi tersebut serta jurang kira-kira RM11 bilion antara aset dan liabiliti.

Sebelum ini, kerajaan menubuhkan RCI pada 2021 bagi menyiasat isu berkaitan TH susulan penemuan kajian PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

RCI turut mengenal pasti kelemahan tadbir urus, termasuk unsur campur tangan politik dalam beberapa keputusan TH, serta kelemahan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Kabinet pada Rabu bersetuju menyahklasifikasi dan menerbitkan laporan RCI yang mengandungi 25 syor bagi memperkukuh tadbir urus serta operasi TH.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian TH berdasarkan dapatan laporan RCI akan berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata sebarang unsur penyelewengan, penipuan atau salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia. - 30 Julai, 2026

The post Bonus hingga 13 bulan gaji ketika TH bermasalah, RCI syor pemulangan appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved