Boost Bank salur hampir RM150 juta pinjaman kepada PKS, sasar platform digital baharu

06/05/2025 - 15:38
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 6 Mei - Boost Bank menyalurkan hampir RM150 juta pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menandakan pencapaian penting sejak mula menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada segmen itu.
Boost Bank berkata, ia merupakan bank digital pertama di Malaysia yang memperkenalkan produk pembiayaan khusus untuk PKS, bertujuan untuk memperluas akses kredit kepada perniagaan kecil dan sederhana.
Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla berkata, misi utama ketika memulakan pembiayaan PKS untuk membantu pemilik perniagaan mengatasi cabaran kewangan yang sering mereka hadapi.
Dengan pinjaman purata sekitar RM300,000 permintaan terhadap produk pembiayaan utama Boost Bank termasuk pinjaman jangka masa dan kemudahan kredit berputar semakin meningkat.
Ratusan PKS dari sektor seperti borong, pembuatan, runcit, pembinaan dan makanan serta minuman telah menggunakan pembiayaan itu bagi menyokong modal kerja, mengurus aliran tunai, dan membiayai peluasan perniagaan.

Fozia berkata, pengambilan pinjaman yang kukuh menunjukkan peranan penting penyelesaian kewangan digital dalam menyokong operasi perniagaan dan meningkatkan akses kepada kredit.
"Di Boost Bank, kami komited untuk menyokong PKS bukan sahaja dengan pembiayaan, tetapi juga dengan perkhidmatan alat yang betul untuk membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan dalam era digital ini," katanya dalam satu kenyataan.
Boost Bank turut merancang untuk melancarkan platform digital baharu yang direka khusus untuk PKS, yang bukan hanya fokus pada pembiayaan, tetapi turut membantu perniagaan kecil mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.- DagangNews.com
standard



