Axis-REIT naikkan sasaran pengambilalihan hartanah baharu bernilai RM430 juta

LocalBusiness & Finance
24 Apr 2025 • 12:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Axis-REIT naikkan sasaran pengambilalihan hartanah baharu bernilai RM430 juta

image is not available

24/04/2025 - 12:09

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April – Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) menyasarkan untuk memperoleh hartanah baharu bernilai RM430 juta, penambahan kepada 69 asetnya di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan jumlah aset di bawah pengurusan RM5.21 bilion.



Sasaran itu naik berbanding RM300 juta yang diumumkan pada Januari 2025.



Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Axis-REIT Managers Bhd, Leong Kit May berkata, beberapa hartanah berpotensi telah dikenal pasti.



"Hartanah-hartanah itu merupakan aset berkualiti tinggi dan mampu menjana pulangan yang menarik serta terletak di lokasi strategik," katanya dalam satu kenyataan.



Axis-REIT turut mencatatkan peningkatan pendapatan amanah bersih sebanyak 16.2% tahun ke tahun kepada RM49.13 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25).



Hasil keseluruhan turut meningkat hampir 19% tahun ke tahun kepada RM89.87 juta, disokong sumbangan daripada aset baru diperoleh, penyewaan baharu di Axis Mega Distribution Centre (Fasa 2), serta semakan sewa positif yang berterusan.



Axis-REIT membelanjakan RM4.51 juta untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan hartanah.



Dengan peningkatan pendapatan bersih, pendapatan sesaham bagi 1QFY25 meningkat sedikit kepada 2.44 sen.



Axis-REIT merancang untuk mengagihkan 99% daripada pendapatan direalisasi kepada pemegang unit, dengan agihan sebanyak 2.5 sen seunit diumumkan bagi 1Q25.



Tarikh pembayaran ditetapkan pada 30 Mei, manakala tarikh akhir pegangan saham untuk agihan adalah pada 8 Mei.



Pengurus Axis-REIT yakin dapat mengekalkan prestasi semasa berdasarkan prestasi kukuh portfolio sedia ada serta strategi pertumbuhan melalui pelaburan aset berkualiti tinggi.



Sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal, Axis-REIT telah menandatangani perjanjian jual beli untuk penjualan The Annex di Petaling Jaya dengan niai tunai RM24.2 juta.



Penjualan itu dijangka menjana keuntungan bersih yang akan diagihkan kepada pemegang unit selepas selesai urus niaga.



Sehingga akhir Mac 2025, 58 daripada 69 hartanah Axis-REIT mencatatkan penghunian penuh, dengan kadar penghunian keseluruhan portfolio sebanyak 97%.- DagangNews.com

standard