Oasis Home sasar kumpul RM28 juta menerusi IPO Pasaran ACE

25/04/2025 - 15:45
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 25 April – Oasis Home Holding Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM28 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) sebelum disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Mei 2025.
IPO itu melibatkan terbitan sejumlah 100 juta saham baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham.
Daripada jumlah tersebut, 25 juta saham diperuntukkan kepada orang awam menerusi permohonan melalui undian, 10 juta saham untuk pengarah dan pekerja layak, manakala baki 65 juta saham ditawarkan secara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.
Hasil IPO akan diperuntukkan untuk pembesaran saluran jualan perdagangan langsung pada RM13.7 juta (48.9%), penubuhan pusat pemenuhan pada RM3.6 juta (12.86%), modal kerja RM4.3 juta (15.36%), penubuhan ibu pejabat baharu pada RM2 juta (7.14%), dan anggaran perbelanjaan penyenaraian RM2 juta (7.14%).
Ketua Pegawai Eksekutif Oasis Home, Teoh Yee Seang berkata, syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan berikutan model terus kepada pengguna (DTC) dan ekosistem digitalnya.
"Kami teruja untuk mengembangkan kehadiran saluran langsung kami di seluruh Facebook dan TikTok, dengan setiap jenama mempunyai strategi penglibatan suara dan khalayak tersendiri.
"Pada masa yang sama, kami akan menubuhkan pusat pemenuhan kami, yang akan membolehkan kami mengurangkan kos operasi dan, seterusnya, memelihara dan meningkatkan margin keuntungan keseluruhan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24), segmen live commerce menyumbang 75.65% daripada pendapatan keseluruhan syarikat.
Pendapatan meningkat daripada RM40.88 juta pada FYE 2022 kepada RM54.82 juta pada FYE 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15.80%.
Dari segi keuntungan bersih, syarikat mencatatkan peningkatan ketara daripada RM5.34 juta kepada RM8.07 juta dalam tempoh sama, dengan CAGR sebanyak 22.93%.
Prestasi kukuh itu berterusan bagi tempoh kewangan berakhir 30 November 2025, apabila syarikat merekodkan pendapatan RM33.43 juta dan peningkatan 68.07% berbanding RM19.89 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Keuntungan bersih turut melonjak 58.72% kepada RM5.19 juta.
Tempoh permohonan IPO akan ditutup pada 9 Mei 2025.
MIDF Amanah Investment Bank merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.- DagangNews.com
standard


