
ANTANANARIVO – Serbuan ke atas pusat-pusat penipuan dalam talian di Madagascar membongkar kaitan dengan kumpulan penjenayah yang mengendalikan operasi serupa di Kemboja, kata pihak berkuasa kepada AFP.
Menjalankan penipuan percintaan, mata wang kripto dan pelaburan, premis penipuan itu kebanyakannya dikendalikan oleh warga China, dengan 148 daripada mereka telah diekstradisi ke Beijing, demikian menurut Kementerian Kehakiman Madagascar.
Sebanyak 13 premis penipuan dikendalikan warga China telah ditumpaskan dalam operasi pada Ogos dan September tahun ini yang dilancarkan bersama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), katanya.
Kira-kira AS$52 juta (RM211 juta) dalam bentuk mata wang kripto dirampas dalam masa satu hari bersama lebih 3,200 peranti elektronik, kata pihak berkuasa AS itu dalam satu kenyataan lain.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah telah memberi amaran pada tahun lalu mengenai perluasan rangkaian penipuan ini, terutamanya di selatan Benua Afrika.
Seramai 11 warga China yang ditangkap secara berasingan pula telah dibebaskan secara misteri dari penjara Madagascar pada Ogos lalu dalam skandal berprofil tinggi yang didakwa melibatkan ketua perkhidmatan penjara.
Beberapa warga Afrika kekal dalam tahanan, walaupun siasatan awal menunjukkan mereka mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata beberapa pegawai.
Seperti operasi penipuan di Asia Tenggara, pusat-pusat di Madagascar mengumpan warga Afrika ke pulau di Lautan Hindi itu melalui media sosial dan dengan janji gaji tinggi.
Dalam kes tersebut, kira-kira 20 warga Kenya, Rwanda, Uganda dan Zimbabwe berada dalam tahanan, kata pihak berkuasa.
“Menurut kenyataan mereka, mereka direkrut menerusi Facebook untuk datang bekerja di Madagascar dalam sektor komersial,” kata ketua unit jenayah polis Hassan Mouigni kepada AFP.
“Bagaimanapun, apabila mereka tiba di sini, kebanyakan pasport dirampas oleh bos dan mereka dipaksa untuk menipu, Mereka adalah mangsa penipuan,” tambahnya.
Lelaki yang dituduh mengendalikan skim penipuan percintaan itu merupakan warga Malaysia dikenali sebagai Chui Kok Wa
“Dia menetap di sebuah vila di kawasan eksklusif Ivato berhampiran ibu negara, Antananarivo,” kata pihak berkuasa AS.
“Daripada visa dalam pasportnya, kami dapat menyimpulkan dia tiba di sini buat kali pertama pada 2024. Menurut pasport itu, dia berada di Kemboja sebelum ini,” kata Mouigni.
DOJ percaya ‘kumpulan penjenayah itu yang mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah di Malaysia dan China, telah membuka kompaun penipuan di Madagascar pada awal 2025, berkemungkinan memindahkan operasi tersebut dari Kemboja selepas tindakan penguatkuasaan undang-undang di negara itu.
The post Bos ‘scammer’ rakyat Malaysia diberkas di Madagascar appeared first on Kosmo Online.



