Bot bertembung: ‘Kakak dunia akhirat’ ungkapan terakhir Mohamad Sohaizi

1 Sep 2026 • 2:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot bertembung: ‘Kakak dunia akhirat’ ungkapan terakhir Mohamad Sohaizi
Suhailah menunjukkan gambar adiknya yang maut dalam insiden dua bot bertembung pada malam Isnin.
Image from: Bot bertembung: ‘Kakak dunia akhirat’ ungkapan terakhir Mohamad Sohaizi
Ahli keluarga mangsa menunggu di Unit Forensit Hospital Mersing.

MERSING: “Kak, akaklah kakak dunia akhirat.”

Demikian kata-kata yang masih terngiang-ngiang di telinga Suhailah Mohd Sanin, 51, ketika mengimbau kembali perbualannya bersama adiknya, Mohamad Sohaizi, 38, yang maut dalam kejadian dua bot bertembung berhampiran Kuala Sungai Mersing, malam Isnin.

Mohamad Sohaizi yang juga tekong bot, merupakan antara dua mangsa yang maut dalam kejadian itu, manakala tujuh lagi cedera.

Lebih memilukan, Suhailah turut mengimbau status WhatsApp dimuat naik berbentuk video arwah pada pagi sebelum tragedi, “Takdir ALLAH itu cantik, ALLAH dah susun perjalanan kita.”

Suhailah berkata, dia langsung tidak menyangka ungkapan adiknya ketika mereka berbual pada 20 Ogos lalu seakan-akan membawa maksud tersirat.

“Dia tiba-tiba cakap kepada akak, ‘Kak, akaklah kakak dunia akhirat’.

“Akak macam terfikir juga, kenapa pula dia cakap begitu. Tapi masa itu tak terlintas apa-apa kerana kita tak pernah menjangka perkara seperti ini akan berlaku.

“Bila dapat tahu dia sudah tiada, memang terkejut sangat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing, pada Selasa.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai tragedi yang menimpa adiknya selepas dimaklumkan anak saudaranya kira-kira jam 8 malam.

**media[3632951]**

Katanya, pada mulanya dia menyangka ia kemalangan biasa sebelum menerima berita bahawa adiknya sudah meninggal dunia.

“Anak saudara telefon dan beritahu mengenai kemalangan bot. Akak tanya betul ke, kemudian dia kata memang betul.

“Akak memang terkejut dan susah nak percaya pada mulanya. Saya bergerak dari rumah di Kangkar Pulai pada awal pagi tadi,” katanya.

Suhailah berkata, arwah yang juga anak keenam daripada lapan beradik adalah seorang yang pendiam dan sangat rapat dengan adik-beradiknya, terutama selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia.

Menurutnya, arwah sebelum ini bekerja membaiki enjin dan mempunyai kemahiran dalam bidang mekanikal termasuk enjin bot, kereta serta motosikal.

“Memang dia minat dan mahir bab enjin. Dia boleh baiki enjin bot, kereta dan motosikal.

“Arwah seorang yang rajin bekerja. Kami pun jarang berjumpa kerana saya tinggal di Johor Bahru dan dia pula di Mersing.

“Arwah belum mendirikan rumah tangga. Sekarang bila dia sudah tiada, memang rasa sedih kerana kami sudah kehilangan ibu dan ayah, dan kini seorang lagi adik pergi meninggalkan kami,” katanya.

Jelas Suhailah, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam At-Thahiriyah selepas selesai proses di Unit Forensik.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam Isnin, dua individu dilaporkan maut manakala tujuh lagi cedera selepas dua bot bertembung di Kuala Sungai Mersing.

Insiden berlaku kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing dan membabitkan bot Sea Queen yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Besar serta bot Rawa Birds yang baru berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved