MERSING - “Takdir ALLAH itu cantik, ALLAH dah susun perjalanan kita.”
Itu ungkapan yang dimuat naik menerusi status WhatsApp oleh Mohamad Sohaizi, 38, pada pagi sebelum tragedi dua bot bertembung berhampiran Kuala Sungai Mersing, malam Isnin, kini meninggalkan kesan mendalam buat kakaknya, Suhailah Mohd Sanin, 51.
Lebih memilukan, Suhailah sama sekali tidak menyangka video yang dimuat naik adiknya itu seolah-olah menjadi antara pesanan terakhir sebelum Mohamad Sohaizi maut dalam kejadian berkenaan.
**media[3633376]**
Mohamad Sohaizi yang juga tekong bot merupakan antara dua mangsa yang maut dalam kejadian itu, manakala tujuh lagi cedera.
Menurut Suhailah, selain status WhatsApp berkenaan, kata-kata adiknya ketika mereka berbual pada 20 Ogos lalu turut masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Dia tiba-tiba cakap kepada akak, ‘Kak, akaklah kakak dunia akhirat’.
“Akak macam terfikir juga, kenapa pula dia cakap begitu. Tapi masa itu tak terlintas apa-apa kerana kita tak pernah menjangka perkara seperti ini akan berlaku.
“Bila dapat tahu dia sudah tiada, memang terkejut sangat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Mersing pada Selasa.
Suhailah berkata, dia mengetahui tragedi yang menimpa adiknya selepas dimaklumkan anak saudaranya kira-kira jam 8 malam.
Katanya, pada mulanya dia menyangka ia hanya kemalangan biasa sebelum menerima berita bahawa adiknya sudah meninggal dunia.
“Anak saudara telefon dan beritahu mengenai kemalangan bot. Akak tanya betul ke, kemudian dia kata memang betul.
“Akak memang terkejut dan susah nak percaya pada mulanya. Saya bergerak dari rumah di Kangkar Pulai pada awal pagi tadi,” katanya.
**media[3633377]**
Menurut Suhailah, arwah yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik seorang yang pendiam dan sangat rapat dengan adik-beradiknya, terutama selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia.
Katanya, arwah sebelum ini bekerja membaiki enjin dan mempunyai kemahiran dalam bidang mekanikal termasuk membaiki enjin bot, kereta serta motosikal.
“Memang dia minat dan mahir bab enjin. Dia boleh baiki enjin bot, kereta dan motosikal.
“Arwah seorang yang rajin bekerja. Kami pun jarang berjumpa kerana saya tinggal di Johor Bahru dan dia pula di Mersing.
“Arwah belum mendirikan rumah tangga. Sekarang bila dia sudah tiada, memang rasa sedih kerana kami sudah kehilangan ibu dan ayah, dan kini seorang lagi adik pergi meninggalkan kami,” katanya.
Suhailah berkata, jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam At-Thahiriyah selepas selesai proses di Unit Forensik.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam Isnin, dua individu dilaporkan maut manakala tujuh lagi cedera selepas dua bot bertembung di Kuala Sungai Mersing.
Insiden yang berlaku kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Mersing itu membabitkan bot Sea Queen yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Besar serta bot Rawa Birds yang baru berlepas dari jeti menuju ke Pulau Rawa.




