Bot karam, lima diselamatkan

23 Jun 2026 • 10:15 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bot karam, lima diselamatkan

SANDAKAN: Lima pemancing tempatan diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Pulau Nunuyan, di sini, petang Ahad.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, lima lelaki berumur antara 38 dan 59 tahun itu bertolak dari Jeti Nelayan Karamunting sekitar jam 6 pagi bagi menjalankan aktiviti memancing di kawasan perairan Pulau Nunuyan.

Menurutnya, bot yang dinaiki dipercayai karam selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang, sebelum Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang. Susulan laporan yang diterima, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu segera mengatur gerak aset Maritim Malaysia iaitu Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 04 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

Beliau berkata, tindakan pantas anggota dan aset Maritim Malaysia yang digerakkan ke lokasi berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa, sebelum dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Mereka hanya mengalami keletihan dan kesejukan akibat terdedah kepada keadaan laut,” katanya dalam kenyataan, Isnin.

Muhamad Suhairy menasihatkan pengguna bot dan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan yang mencukupi serta memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut.

Selain itu, mereka juga disaran sentiasa memantau keadaan cuaca dan memastikan bot tidak melebihi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebarang kecemasan atau kejadian di laut boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 untuk tindakan segera.

Beberapa kawasan Sabah dilanda ribut petir dan hujan sekejap-sekejap sejak seminggu lalu, dengan keadaan ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved