
KLANG – Penantian keluarga mangsa tragedi bot karam di One Fathom Bank berakhir apabila keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat yang ditemukan ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.
Bapa saudara mangsa, Khairul Muhidin, 47, berkata, keputusan ujian DNA itu diterima pihak keluarga, hari ini sekali gus membolehkan jenazah dituntut di Hospital Sungai Buloh untuk urusan pengebumian.
Katanya, proses tuntutan mayat dijangka selesai pukul 2 petang sebelum dibawa menggunakan khidmat Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) ke pusat pengurusan jenazah UKVJ di Batu Belah, Klang untuk urusan pengurusan jenazah.
“Keputusan DNA telah selesai dan positif mayat yang dijumpai kelmarin adalah mayat Muhammad Ridzuan dan waris telah dipanggil ke Hospital Sungai Buloh untuk buat tuntutan jenazah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Menurutnya, jenazah kemudiannya akan dibawa ke ke Masjid An-Naim, Jalan Kebun untuk disolatkan.
Tambahnya, pengebumian jenazah akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat, Kampung Jalan Kebun Seksyen 30, di sini selepas solat asar.
Kosmo! semalam melaporkan, keputusan DNA terhadap mayat pemancing Muhammad Ridzuan dijangka diketahui seawal hari ini.
Ujian DNA perlu dilaksanakan berikutan keadaan mayat yang menyukarkan pengecaman identiti secara fizikal.
Mayat Muhammad Ridzuan ditemukan kira-kira pukul 4.26 petang, kelmarin pada jarak kira-kira 3.7 kilometer dari lokasi mayat Mohd. Shahril Abd. Rahman di Perairan Hutan Melintang, Perak. – KOSMO! ONLINE
The post Bot karam: DNA sahkan jenazah Ridzuan, kebumi selepas asar appeared first on Kosmo Online.






